Ras Adiba Radzi

KUALA LUMPUR – Kerajaan dapat mempertimbangkan semula untuk membenarkan operasi perkhidmatan urut refleksologi yang ketika ini banyak menggajikan individu-individu Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan.

Ahli Dewan Negara, Senator Ras Adiba Mohd. Radzi berkata, golongan itu juga memiliki tanggungan yang perlu disara dalam persekitaran ekonomi yang kian mencabar bagi membuka kembali peluang rezeki buat mereka.

Beliau turut melahirkan rasa terkilan apabila mendapati bahawa perkhidmatan tersebut tidak disenaraikan bersekali dengan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang boleh memulakan perniagaan semula dengan prosedur-prosedur tertentu.

“Jika soal kesihatan yang menjadi kerisauan, apa bedanya perkhidmatan lain yang melibatkan sentuhan dengan urut refleksologi yang dijalankan oleh mereka yang kelainan upaya?

“Ramai yang sedia maklum bahawa perkhidmatan gunting dan cuci rambut serta rawatan medicure dan pedicure sudah dibenarkan beroperasi semula bermula hari ini.

“Namun begitu, perkhidmatan rawatan urut refleksologi yang banyak disertai oleh golongan OKU penglihatan sebagai therapist masih tidak dibenarkan atas alasan perkhidmatan urut dan refleksologi berada dalam kategori ‘hiburan’,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ras Adiba menambah, ramai daripada komuniti OKU yang membangkitkan rasa tidak puas hati mereka terhadap perkara ini seolah-olah pengecualian operasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) terhadap pusat urut dan refleksologi.

Ini kerana jelas belau, perkhidmatannya banyak dikendalikan oleh warga OKU penglihatan merupakan perkara enteng yang tidak mengundang sensitiviti komuniti OKU yang lain.

“Saya selaku wakil OKU dalam Dewan Negara berasa sungguh sedih dan gusar apabila dimaklumkan bahawa banyak dari kalangan komuniti OKU khususnya dalam segmen penglihatan tidak dapat meneruskan pencarian rezeki disebabkan aktiviti ekonomi yang mereka sertai tidak lagi dibenarkan beroperasi, lebih-lebih lagi yang melibatkan sentuhan badan seperti perkhidmatan urut dan refleksologi,” katanya. – MalaysiaGazette