KUALA LUMPUR – Para peniaga yang tergolong dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) didakwa masih mengeluh kerana tercicir atau tidak mendapat manfaat daripada Geran Khas Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat Prihatin (Prihatin).
Pada 6 April lalu Perdana Menteri telah mengumumkan Langkah Tambahan bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang berjumlah RM10 bilion.
Salah satu langkah tambahan adalah mewujudkan Geran Khas Prihatin berjumlah RM2.1 bilion bagi semua syarikat PKS mikro yang berkelayakan bagi meringankan beban kewangan perniagaan mereka yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 di negara ini.
Kerajaan akan menyediakan Geran Khas sebanyak RM3,000 untuk setiap syarikat mikro yang akan memanfaatkan hampir 700,000 PKS mikro di seluruh negara.
Ahli Parlimen Belia Malaysia, Kong Cheng Ann berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) telah menerima 642,976 permohonan Geran Khas Prihatin sejak bantuan itu dibuka bermula 1 hingga 15 Mei lalu, tetapi hanya 488,857 permohonan telah diluluskan pada 1 Jun dan tambahan 35,800 permohonan diluluskan.
Ini bermakna terdapat seramai 175,343 atau 25% (175,343/700,000) perusahaan kecil dan sederhana belum dimanfaatkan.
”Saya telah dimaklumkan bahawa masih ramai perusahaan kecil dan sederhana belum dapat memanfaatkan inisiatif tersebut atau terlepas peluang untuk membuat permohonan disebabkan tempoh permohonan yang singkat (2 minggu).
”Oleh itu, saya ingin menyarankan kepada pihak berkenaan supaya membuka semula permohonan untuk memastikan mereka tidak diabaikan dan kebajikan mereka terjaga dalam mengharungi krisis wabak Covid-19 ini,” katanya.
Rasional pembukaan semula permohonan ini, katanya, selari dengan kenyataan Perdana Menteri iaitu ”tiada siapa yang akan tercicir dalam pakej rangsangan ekonomi”. – MalaysiaGazette