KUALA LUMPUR – Pembentangan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang dijadualkan pada 6 Ogos ini di Parlimen ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditentukan kelak.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, penangguhan itu selepas kerajaan mengambilkira penularan wabak Covid-19 selain membolehkan kerajaan membuat kajian lebih lanjut berkaitan libat urus dengan pemegang taruh terlibat.
Sementara itu sidang Dewan Rakyat akan diadakan selama 25 hari bermula 13 Julai namun tidak bersidang pada 30 Julai memandangkan Hari Raya Aidiladha pada 31 Julai dan tidak bersidang juga pada 19 dan 20 Ogos kerana Awal Muharam pada 20 Ogos ini.
“Selanjutnya, takwim Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 tahun 2020 dipinda kepada tarikh mesyuarat baru iaitu mulai 2 November hingga 15 Disember ini,” katanya dala satu kenyataan hari ini.
Pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan pada 2 Oktober pula akan ditunda kepada pukul 4 petang pada 6 November ini, katanya.- MalaysiaGazette