ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

PETALING JAYA – Lima suspek warga tempatan termasuk dua wanita yang dijadikan sebagai ‘kaldai akaun’ oleh sindiket-sindiket tidak bertanggungjawab untuk kegiatan menyalahi undang-undang berjaya ditumpaskan pada Jumaat semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua suspek adalah berusia lingkungan 19 hingga 29 tahun dicekup dalam satu serbuan semalam sekitar jam 8 pagi.

Mereka ditangkap di daereh tersebut menerusi satu operasi khas iaitu Op Mule Account.

“Suspek-suspek ini menerusi hasil siasatan polis mendapati mereka dijadikan sebagai ‘kaldai akaun’ oleh sindiket-sindiket yang tidak bertanggungjawab.

“Nombor-nombor akaun mereka diperoleh daripada sama ada yang pernah kehilangan kad Mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM) yang pernah mempunyai sejarah meminjam Ah Long, kehilangan kad ATM yang mempunyai akaun bank menjual kad ATM bank bagi mendapatkan wang atau juga diberi upah untuk membuka akaun bank atas nama mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Nik Ezanee, dalam kalangan suspek berkenaan ada yang mengetahui dan ada yang tidak menyedari yang akaun bank mereka telah digunakan oleh sindiket tidak bertanggungjawab itu bagi mereka dalam mendapatkan wang dari mangsa di luar dengan mudah.

Justeru katanya, mangsa mudah terpedaya dengan penipuan berkenaan dalam pelbagai bentuk antaraya sindiket itu menawarkan pinjaman wang tidak wujud, pembelian barang di dalam media massa, menipu dalam urusan sewa beli bilik atau rumah dan lain-lain lagi.

“Sindiket memberikan nombor akaun bank suspek yang dijadikan ‘kaldai akaun’ kepada mangsa bagi urusan pembayaran atau pendeposit wang,” katanya.

Kesemua suspek berkenaan telah dituduh di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam.

“Bagaimanapun tindakan pasukan kami tidak terhenti di sini malah akan teruskan usaha untuk mengesan ‘kaldai akaun’ dan juga sindiket yang tidak bertanggungjawab sehingga ke akar umbi bagi membanteras sepenuhnya,” ujar beliau.

Beliau juga menasihatkan orang ramai khususnya di daerah itu supaya tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat berkaitan kewangan, akaun bank atau nombor pin kad ATM bank dengan individu tidak dikenali.

Malah beliau turut menjelaskan sekiranya menerima sebarang panggilan telefon daripada nombor telefon tidak dikenali dan memperkenalkan diri mereka adalah wakil daripada institusi perbankan pun dinasihatkan jangan mendedahkan identiti diri seperti diminta oleh pemanggil.

Justeru katanya, jika kad ATM didapati hilang, segera menghubungi pihak bank untuk menyekat atau membatalkan akaun anda dan sekiranya pernah berurusan dengan pihak pemberi pinjaman kewangan, pastikan akaun tersebut ditutup setelah selesai berurusan.

“Orang awam juga diberi amaran agar tidak memberikan nombor TAC perbankan online kepada individu lain walau apa jua situasi atau keadaan.

“Ingat bahawa sindiket ini akan memperdaya dengan memberi alasan seperti tersalah daftar nombor telefon atau berlakon seolah-olah berada dalam kesempitan wang secara tidak langsung membuatkan mangsa simpati kepadanya,” katanya.

Masyarakat boleh memuat turun aplikasi SemakMule yang telah dibangunkan oleh JSJ Komersial Bukit Aman untuk semakan terhadap sindiket penipuan.- MalaysiaGazette