Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Walaupun negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 namun usaha menangani denggi tidak boleh dilupakan begitu sahaja kerana kes masih tinggi.

Sejak Januari hingga 13 Jun lalu,  sebanyak 50,511 kes demam denggi direkodkan dengan 88 kematian berbanding 86, 819 kes dan 88 kematian dalam tempoh sama tahun 2019.

Dengan trend rekod kes yang meningkat iaitu 8 peratus seminggu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan berlaku gelombang kedua peningkatan kes demam denggi yang akan bermula Jun hingga September 2020.

“Jumlah kumulatif kes demam denggi pada tempoh itu berkurang berbanding tahun lepas, namun sejak lapan minggu yang lepas, didapati berlaku trend peningkatan dengan purata peningkatan 8% seminggu,” kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Hari ini adalah Hari Denggi ASEAN yang bertemakan “10 Minit Hapuskan Aedes”, mengajak masyarakat meluangkan masa 10 minit untuk melakukan aktiviti pembersihan persekitaran dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes setiap minggu secara kendiri.

Tema ini juga selari dengan hala tuju KKM dalam pencegahan denggi dengan memberikan penekanan kepada peranan komuniti untuk menjalankan aktiviti pemusnahan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes di premis masing-masing.

Katanya, KKM telah menggerakkan sukarelawan COMBI di seluruh negara untuk mendidik masyarakat dalam menangani Aedes dalam mengamalkan norma baharu.

Sehingga 12 Jun 2020, terdapat 2,954 pasukan COMBI dengan penyertaan lebih dari 25,531 orang sukarelawan terdiri dari komuniti di seluruh negara.- MalaysiaGazette