KUALA LUMPUR – Pelantikan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen sebagai Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM) mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk parti politik.
Banyak gesaan termasuk dari Pergerakan Wira Putra Malaysia mahu kerajaan Perikatan Nasional (PN) memecatnya segera dan memberikan jawatan itu kepada mereka yang lebih berintegriti.
Menurut Naib Ketua sayap parti itu, Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah, pelantikan itu adalah usaha terkebelakang Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, dan tindakan seolah memperlekehkan kredibiliti MPKM.
“Tidak wajar beliau (Saifuddin) melantik seorang yang berfikiran anti-Islam dan memperjuangkan aliran pemikiran sesat serta pendokong fahaman ultra-liberalisme yang boleh merosakkan struktur sosial negara ini.
“Individu ini juga dikenali rakyat sebagai seorang yang menyokong budaya sesat seperti hubungan sejenis transgender, gay, lesbian, rasis dan ekstremis.
“Malah, beliau pernah menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebarkan ajaran Islam ekstremisme melalui khutbah Jumaat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Eric yang mewakili Malaysia dalam Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) antara 15 ahli MPKM yang dilantik dan dipengerusikan Saifuddin.
Menurut Syed Mohd Shahriman, tidak wajar menteri membela dan membiarkan individu liberal dan ektremis itu terlibat dalam sebarang pengurusan majlis di bawah kerajaan.
Seharusnya ujar beliau, pelantikan itu diberikan kepada individu yang lebih berwibawa dan mempunyai kredibiliti yang tinggi dalam badan kerajaan seperti MPKM dan lain-lain. – MalaysiaGazette
Kahkahkahkah lebai mana lebai.. X kan bisu jah