Muhammad Izuan Ahmad Kasim dan Arshad Hassni.
Muhammad Izuan Ahmad Kasim dan Arshad Hassni.

KUALA LUMPUR – Debat antara calon pimpinan bukannya ancaman, sebaliknya ia merupakan ruang untuk menilai idea, visi dan keupayaan calon secara terbuka dan matang.

Calon Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR (AMK) Malaysia, Arshad Hassni berkata, dakwaan bahawa debat boleh mencetuskan perpecahan dalam parti adalah mundur dan tidak selari dengan budaya politik reformis yang diperjuangkan PKR.

“Kenyataan sebegini mencerminkan ketakutan terhadap budaya politik yang sihat dan progresif. Debat bukanlah ancaman.

“Ia adalah ruang penting untuk menilai visi, pendekatan dan keupayaan calon memimpin, terutamanya dalam konteks Pemilihan PKR 2025 yang berlaku dalam tempoh kritikal – saat kita sedang mempersiapkan jentera untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Datuk Seri Rafizi Ramli dilaporkan bersedia berdebat dengan Nurul Izzah Anwar dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR hujung bulan ini bagi meredakan suhu panas dalam kalangan penyokong mereka.

Bagaimanapun, Nurul Izzah menyifatkan keutamaan beliau ketika ini bukan kepada aktiviti yang boleh memburukkan lagi pertikaian dalaman PKR.

Menurut Arshad Hasni, jawatan Timbalan Presiden dan Timbalan Ketua AMK bukan sekadar pelengkap struktur, tetapi pemegang amanah penting yang akan membantu Presiden parti menyusun strategi dan naratif nasional untuk menawan hati rakyat.

Justeru, calon-calon harus berani tampil dengan idea dan rancangan yang jelas, ujarnya.

“Kita tidak boleh terus bergantung kepada sentimen dan populariti semata-mata dalam menentukan masa depan PKR,” katanya sambil menambah ahli parti harus dididik untuk menilai berdasarkan merit dan tawaran idea, bukan emosi.

Sementara itu, Arshad Hasni melahirkan rasa kecewa apabila cabaran debat yang dicadangkannya kepada pesaing, Izuan Kasim masih belum disambut.

Beliau menyifatkan sikap mengelak debat sebagai bertentangan dengan prinsip keterbukaan dan keberanian.

“Saya masih menunggu persetujuan secara terbuka daripada Saudara Izuan Kasim. Jika kita benar-benar yakin dengan prinsip keterbukaan dan keberanian, maka medan debat sepatutnya diraikan – bukan dielak,” katanya.

Sebelum ini, MalaysiaGazette bersedia menjadi penganjur program debat antara calon yang bertanding jawatan Timbalan Ketua AMK bagi pemilihan PKR 2025.

Inisiatif menjadi penganjur debat itu adalah sebagai menyahut kenyataan daripada Arshad Hasni yang mencabar Muhammad Izuan untuk mengadakan sesi debat terbuka.

MalaysiaGazette akan menyediakan platform yang adil dan terbuka kepada calon-calon untuk menyampaikan visi, misi dan gagasan mereka kepada ahli parti dan juga rakyat Malaysia secara umum. – MalaysiaGazette

MalaysiaGazette sedia jadi penganjur debat calon Timbalan Ketua AMK

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast