KUALA LUMPUR – Satu sindiket perjudian dalam talian antarabangsa yang didalangi 15 warga asing termasuk tiga wanita yang beroperasi sejak Disember lalu berjaya dilumpuhkan polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua suspek ditangkap dalam satu serbuan di sebuah rumah banglo di Jalan SS7/2 semalam.
Dalam serbuan pada jam 12 tengahari itu, kesemua suspek berusia lingkungan 21 hingga 49 tahun berada di ruang tamu bersama beberapa set komputer dan telefon bimbit yang disyaki digunakan untuk aktiviti judi.
“Siasatan awal mendapati kesemua mereka memasuki negara ini pada Oktober tahun lalu dan menjadikan kediaman itu sebagai pusat panggilan judi online antarabangsa.
“Sindiket ini menerusi hasil kegiatan terlarang sejak enam bulan lalu mampu mengaut keuntungan antara RM150,000 hingga RM200,000 sehari.
“Mereka menyasarkan mangsa dari Beijing, China dan Kanada untuk menipu dan merampas wang menerusi judi haram yang digerakkan secara besar-besaran peringkat antarabangsa,’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesemua suspek kini direman 14 hari dan disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Menurut Nik Ezanee, siasatan lanjut masih diteruskan ke atas kesemua suspek berkenaan.
“Hasil pemeriksaan di rumah suspek berjaya merampas 11 unit komputer riba pelbagai jenama, 58 buah telefon bimbit pelbagai jenama, 14 buku catitan, empat unit gajet penghantaran wang, tiga unit modem jenama TP-LInk dan dan tiga unit router berjenama TM,” tegasnya.-MalaysiaGazette