Penyelia kumpulan TUAH FKEKK yang merupakan Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK), UTeM Siti Aisyah Anas (tengah bawah sekali) bersama 6 orang ahli kumpulan sedia memberi cabaran dalam pertandingan merekabentuk model satelit berskala nano dengan sistem operasi seperti satelit sebenar.

SEKUMPULAN Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang dikenali
sebagai TUAH FKEKK sedia bersaing hebat membangunkan satelit dalam Malaysia
SiswaSAT Competition2020.

Pertandingan ini telah bermula sejak 9 Mac sehingga 16 Oktober 2020 yang
dianjurkan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Teknologi
dan Inovasi (MOSTI).

Menurut Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer
(FKEKK), UTeM Siti Aisyah Anas berkata, cabaran dalam pertandingan ini adalah
mereka bentuk model satelit berskala nano dengan sistem operasi seperti satelit
sebenar.

Katanya, pasukan TUAH FKEKK dianggotai seramai 6 orang pelajar tahun kedua
dari jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian iaitu
Muhammad Safie Sijamsir, Syafiq Abdul Halim, Muhammad Izzat Haziq Osman, Siti
Nur Syafiqah Mohamed Kamar, Muhamad Amirul Amin Wira dan Muhd Sabri Abdul
Rahman.

Siti Aisyah yang merupakan penyelia kumpulan ini berkata, mereka kini telah
berjaya melepasi saringan sebelum ini dan kini berada di peringkat penyediaan
dokumen untuk membentangkan kajian secara terperinci berkaitan dgn reka bentuk
serta operasi model satelit berskala nano.

Ujarnya, buat masa ini mereka sedang bersaing bersama dengan 27 pasukan lain
daripada institusi pengajian tinggi dari seluruh negara dalam pembinaan model
satelit berskala nano yang boleh beroperasi seperti satelit sebenar.

“Kami sedang bertungkus lumus kini menggembleng segenap kepakaran yang
dimiliki bagi memastikan impian kami menjadi kenyataan untuk menjuarai
pertandingan ini sekaligus menjadi pemilik kepada hadiah wang tunai yang
berjumlah RM 5,000.00, ”ujarnya lagi.

Mengulas mengenai corak komunikasi sesama ahli pada masa kini mereka
menggunakan pendekatan komunikasi atas talian seperti Webex dan Whatsapp
kerana lebih mudah dan berkesan.

Sementara itu Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim
berkata, UTeM sentiasa memberikan sokongan kepada para pensyarah dan pelajarnya dalam menzahirkan kepakaran yang dimiliki di pentas nasional.

Beliau berharap pentas ini dapat digunakan sebaiknya oleh para pelajar
bagi mengaplikasikan segala ilmu teknikal dan kemahiran yang dimiliki dalam realiti
sebenar. – MalaysiaGazette