KUALA LUMPUR – Pimpinan UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu bersatu dan memperkukuhkan kepimpinan Islam dan Melayu di negara ini.
Oleh itu, kepimpinan parti-parti politik ini perlu mengenepikan pandangan peribadi yang boleh menjejaskan ukhwah Perikatan Nasional, kata Senator Tan Sri Rais Yatim.
Menurutnya, Perdana Menteri perlu diberi ruang untuk menunjukkan corak dan sekutu dalam kepimpinan beliau.
“Orang Melayu dan Islam mesti ada tempat untuk memerintah dan mentadbir negara dengan rakan-rakan sekitarnya.
“Dalam hal sedemikian, komen-komen yang menyakitkan hati, merosakkan perjuangan kita simpan dulu,” katanya ketika ditemui di sini selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara hari ini.
Rais mengulas mengenai kenyataan-kenyataan pedas yang dilontarkan oleh beberapa pemimpin UMNO susulan cadangan Wan Saiful Wan Jan yang meminta UMNO berkorban demi kestabilan Perikatan Nasional.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menjawab pandangan Wan Saiful berkata, UMNO bukan talian hayat kepada mana-mana pihak.
Manakala Datuk Dr Puad Zakarshi pula mencadangkan Bersatu yang tidak mempunyai akar umbi supaya membubarkan sahaja parti tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN:
Rais menambah, langkah itu perlu supaya pendapat peribadi tidak dilemparkan tetapi menyemai rasa sekutu.
“Takkan kita hendak berpolitik hari-hari? Bagaimana kita hendak memperkukuh ekonomi kita dan kehidupan orang kampung, orang di ladang, orang di laut.
“Ini yang harus kita bangkitkan sekarang. Bukan politik saya, atau politik seorang, berdua yang lidahnya agak tajam,” tambahnya.
Lagipun, kata Rais, setakat hari ini parti-parti politik belum menyatakan pendirian masing-masing.
Menurut Rais lagi, ruang untuk bijaksana sudah tiba dan marilah kita mencuba dalam suasana yang baharu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
tolong nasihatkan budak hingusan politik Wan Saiful tu