Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – UMNO bukan talian hayat untuk menyelamatkan mana-mana parti, ahli-ahli atau pemimpin tetapi parti keramat ini adalah talian hayat untuk orang Melayu.

Malah, UMNO tidak akan berkorban untuk memberi nyawa kepada mereka yang meninggalkan parti itu semasa ia tewas dan jatuh parah.

Kepada mereka yang telah meninggal parti ini, UMNO mungkin memaafkannya tetapi tidak akan melupakannya.

Oleh itu, pada masa sekarang, UMNO hanya memilih untuk berkorban demi agama, bangsa Melayu dan tanah air sahaja.

”Ini satu-satunya misi UMNO. Jika UMNO mengabaikan misi ini, orang Melayu dan rakyat Malaysia akan menolaknya. Jadi, UMNO tidak akan membiarkan dirinya dihukum, sekali lagi,” tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau mengulas kenyataan Wan Saiful Wan Jan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang meminta UMNO supaya berkorban demi mengukuhkan Perikatan Nasional (PN).

Menyifatkan seruan Wan Saiful hanya untuk menyelamatkan Bersatu, Khaled berkata, politik Malaysia sangat memerlukan mereka yang berpandangan jauh, tidak gelojoh dengan kuasa, menjaga lisan dan selalu mengutamakan misi yang lebih besar.

Bukan juga ‘amatur’ yang pendirian dan pandangannya, sentiasa berubah-ubah mengikut laras kuasa dan bukannya perjuangan.

Secara sinis, Khaled menyifatkan perubahan pendirian dan prinsip mereka ini lebih pantas daripada penularan wabak Covid-19.

Untuk rekod, Wan Saiful sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa gabungan UMNO dan Pas tidak akan kekal dan penyatuan kedua-dua parti itu juga tidak nampak keupayaannya untuk kekal kerana asas perjuangan yang tidak kukuh disebabkan bermain isu agama dan bangsa yang tidak baik untuk negara.

Mengulas lanjut, Khaled mengakui UMNO adalah parti yang sentasa bersedia berkorban untuk rakan politiknya kerana telah berpuluh kali UMNO berkorban memperkuatkan rakan dalam Barisan Nasional (BN).

Ini termasuk memberi ruang mereka bertanding di kawasan yang paling boleh dimenangi oleh UMNO.

Malah, dalam banyak keadaan, UMNO adalah parti yang sentiasa berkongsi sumber, tenaga dan kepimpinan untuk memastikan keluarga besar BN bertahan.

”Tetapi setelah UMNO tewas dalam PRU14, UMNO dewasa dengan pengalaman. UMNO kenal benar, siapa lawan dan siapa kawan. UMNO tahu siapa yang bersetia dengannya dan siapa yang sekadar mencari kehidupan dan keuntungan sahaja dari UMNO,” ujarnya.

UMNO, tambah beliau, mahu menumpukan kekuatan dan tenaganya untuk meyakinkan lebih ramai orang Melayu menyertai misinya daripada memikirkan hal mereka yang pernah mencemuh, mencaci dan membenci UMNO.

Ini kerana, parti ini bukan untuk sesetengah elit atau mereka yang berasa koridor kuasa adalah milik mutlaknya tetapi UMNO adalah untuk orang Melayu dan negara Malaysia yang lebih baik.

Katanya, tanpa golongan ini, UMNO akan terus hidup tetapi, tanpa UMNO, masa depan orang Melayu sukar dipastikan.

Untuk itu, Khaled berkata, UMNO sudah sedar dan insaf, survivalnya adalah pada undi orang Melayu dan bukan Melayu, bukan pada kerjasama politik yang bersifat sementara di peringkat yang tidak pun mewakili keseluruhan parti.

Jelas beliau, meskipun UMNO ikhlas dan tulus membuka ruang kepada Bersatu untuk menyertai misi besarnya mungkin sudah tiba masanya, Bersatu pula berkorban demi orang Melayu dengan menyertai UMNO dan bersama-sama menguatkan BN.

Dan bukannya menuntut pengorbanan dari UMNO kerana untuk menjadi rakan strategik UMNO, Bersatu mesti mempunyai kekuatan tersendiri yang akan menghasilkan manfaat menang-menang kepada UMNO, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. UMNO bererti Organisasi Kebangsaan MELAYU Bersatu yang berjuang untuk SEMUA rakyat yang setia kepada negara tanpa mengira bangsa dan kaum.
    Adalah penipuan dan khurafat yang amat celaka jika ada puak-puak baik Melayu atau bukan yang masih mewar-warkan bahawa selama merdeka mereka dianak tiri dan ditindas. Jika benar seperti dikata dan dipropagandakan sudah tentu tidak ada penduduk setempat mampu menulis dan membaca dalam bahasa China atau Tamil (hingga terdapat SJK Benggali) dibiayai kerajaan Malaysia. Juga tidak akan ada rakyat Malaysia yang bernama Pua Kim Seng, Rajamani atau Jingga Singh!

  2. Terbaik Dato Khaled!!
    UMNO jangan sesekali dibiar dikuasai BERSATU atau MANA2 PARTI lain,
    UMNO perlu berpendirian teguh dan tidak mudah dijual beli,
    UMNO parti keramat!!
    UMNO perlu menjaga hubungan setia kawan bersama PAS dalam MUAFAKAT NASIONAL,
    MUAFAKAT NASIONAL perlulah berusaha menjaga hati rakyat untuk mendapatkan sokongan di PRU 15

Comments are closed.