Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Seri Shaharuddin Khalid (tengah) serta yang lain menunjukkan nombor pendaftaran kenderaan dengan nilai harga yang tertera pada sidang media mengenai perkembangan terkini penguatkuasaan JPJ dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Ibu Pejabat JPJ, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 17 JUN 2020

PUTRAJAYA – Nombor pendaftaran SYG 1 berjaya mencatatkan harga bidaan tertinggi iaitu RM115,000 bagi siri tersebut selepas bidaan dibuka menerusi Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJeBid) pada 10 Jun hingga 15 Jun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, nombor ’emas’ itu dibida oleh 14 orang pembida tetapi dimenangi oleh seorang pembida tertinggi RM115,000 bernama Ung Eng Huat.

Nombor kedua menerima bidaan tertinggi ialah SYG 9 dengan nilai RM70,000 dan SYG 8 dengan nilai bidaan tertinggi RM52,000.

“Apa yang menarik sepanjang penerimaan bidaan ini ialah terdapat satu nombor siri yang dianggap unik oleh awam menerima bilangan pembida tertinggi iaitu SYG 8055 atau jika dibaca secara fancy ia akan membawa maksud awam ‘Sayang BOSS’ dibida seramai 25 orang pembida dengan nilai RM19,000 dan SYG 174.

“Ada juga nombor SYG 4111 yang membawa maksud fancy (tulisan jawi ‘Allah”) juga menjadi tarikan pembida bernilai RM5,200 iaitu seramai 22 orang pembida selepas SYG 8055.

“Secara keseluruhannya, hanya 3,173 nombor dibida melibatkan 7,424 pembida dan berjaya dimenangi daripada jumlah 9999 nombor siri SYG yang dibuka,” katanya dalam sidang media khas pengumuman keputusan itu di Kementerian Pengangkutan pagi tadi.

Tambah beliau, nombor siri SYG 9 yang mendapat bidaan kedua tertinggi menjadi milik seorang wanita bernama Joanna Lo Vun Shii dan nombor siri ketiga tertinggi bidaan iaitu SYG 7 juga menjadi milik Ung Eng Huat.

Menerusi keputusan bidaan siri SYG, JPJ berjaya mengutip hasil tertinggi sebanyak RM3.4 juta, secara tidak langsung mendahului siri Perak ALL yang dibuka tahun lalu dengan perbezaan kutipan sebanyak RM100,254.

Menurut beliau, mana-mana pendaftaran SYG yang berjaya dibida mesti didaftarkan pada kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan pejabat JPJ Negeri atau Cawangan.

“Manakala baki nombor siri SYG berjumlah 6,826 nombor yang belum dibida pula akan dibuka kepada awam untuk pembidaan mulai 1 Julai ini.

“Harga tawaran minimum yang ditetapkan untuk nombor emas (1 digit) adalah RM20,000 dan dua digit dengan RM3,000 (lokasi pembelian Ibu Pejabat JPJ sahaja) manakala nombor tiga digit dan ke atas ditetapkan nilai minimum RM2,500 hingga RM500 termasuk nombor popular perlu berurusan di Ibu Pejabat JPJ atau JPJ Kedah.

Malah nombor semasa dibuka urusan pembelian di mana-mana kaunter JPJ di seluruh negara termasuk menerusi mySikap.

“Orang awam yang membida perlu memiliki nombor ID awam mySikap untuk mendapatkan senarai nombor semasa yang masih belum didaftarkan atau sudah dibeli atas talian,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan mulai esok ebidaan nombor siri VEV untuk kawasan Kuala Lumpur akan dibuka selama lima hari sehingga 22 Jun 2020 sehingga 11.59 malam atas talian JPJeBid.

Menurutnya, nombor utama ditetapkan harga bidaan minimum RM20,000 diikuti nombor menarik adalah RM3,000 menakala nombor popular RM800 dan nombor biasa harga bidaan minimum RM300.

“Kaedah pembayaraan bidaan dalam JPJeBid hanya menggunakam kad kredit dan kad debit tempatan sahaja dengan fi wajib perkhidmatan RM10 untuk setiap nombor yang dibida.

“Bagaimanapun setiap pembida individu hanya dibenarkan memenangi tiga nombor bidaan dan manakala perniagaan atau syarikat adalah 5 nombor maksimum dibenarkan,” tegasnya.-MalaysiaGazette