KOTA BHARU – Kelab Wanita Ikon Malaysia menghulurkan sumbangan berupa barang keperluan asas kepada 1,700 keluarga yang terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19 di seluruh negara.

Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed berkata, sumbangan bantuan fasa pertama dengan kerjasama IKHLAS iaitu jenama baharu di bawah AirAsia.com telah dilaksanakan pada bulan Ramadan lepas untuk empat negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Johor membabitkan 1,100 keluarga.

“Bagi fasa kedua sumbangan ini diteruskan dengan kerjasama Syarikat Mahsuri Food Sdn Bhd (sebuah syarikat pengeluar kicap dan sos buatan Malaysia) yang disalurkan kepada tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu yang melibatkan 600 penerima,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sumbangan Bantuan Makanan Asas With Ikhlas.Com bersama Kelab Wanita Ikon Malaysia.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan kepada 150 penerima yang turut dihadiri Ketua IKHLAS, Ikhlas Kamarudin dan Pengurus Pemasaran Mahsuri Mohd Jazri Ikmal Hijaz.

Normaziah berkata penerima bantuan bukan sahaja terdiri daripada golongan berpendapatan rendah B40 malah kebanyakan mereka adalah para peniaga kecil atau berniaga sendiri yang tidak layak menerima bantuan kerajaan.

“Kebanyakan penerima adalah mereka yang terjejas punca pendapatan akibat PKP sejak 18 Mac lepas dan wang simpanan mereka hanya mampu membeli makanan untuk keluarga mereka selama sebulan atau dua bulan sahaja.

“Pihak kami berharap sumbangan dan kerjasama ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban mereka yang terjejas dan akan meneruskan kebajikan ini secara berterusan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Seorang penerima, Hussin Kadir, 64, yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, beliau berterima kasih dengan bantuan yang diberikan dan bersyukur sekurang-kurangnya ada pihak yang prihatin dengan nasibnya.

“Dengan adanya sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang dipikul kerana masih mempunyai lapan orang anak yang perlu ditanggung,” katanya.- BERNAMA