Tertuduh didakwa di atas tujuh pertuduhan menipu dalam urusan penjualan topeng hidung dan mulut yang melibatkan jumlah RM 430,700 di Mahkamah Majistret Klang, Klang. foto AFIQ RAZALI, 19 JUN 2020

KLANG – Seorang wanita berhadapan tujuh pertuduhan kerana menipu dalam urusan jual beli pelitup muka ketika penularan wabak Covid-19 dan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tertuduh, Syahkirah Mhd. Rushid, 30, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang hari ini di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana telah menyalahguna harta (wang).

Tiga pegawai penyiasat dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara mengendalikan kes berkenaan melibatkan penipuan wang sebanyak RM434,700.

Mengikut fakta kes, pada 3 Januari 2020, jam 7.25 malam, seorang pengadu mendakwa telah berurusan dengan tertuduh untuk tempahan 238 kotak pelitup muka dan membuat bayaran secara atas talian sebanyak RM11,900.

Sebelum berurusan jual beli secara rasmi dari tertuduh, pengadu mempunyai enam pelanggan yang membuat tempahan bekalan itu daripadanya.

Pelanggan pertama berurusan dengan pengadu ialah Siti Nurashikin Zulkeply, menempah sebanyak 204 kotak pelitup muka dengan harga RM11,832.

Pelanggan kedua, Neni Marziana menempah 195 kotak (RM9,750), diikuti pelanggan ketiga, Nor Azwa Azrin (995 kotak, RM49,750), Nor Hidayah (22 kotak, RM1,100), Saiful Lizan (20 kotak, RM1,000) dan Muhammad Shahrul (102 kotak, RM3,468).

Semua bayaran berjumlah RM76,900 yang diterima pengadu dari pelanggannya telah dipindah kepada Syahkirah yang menggunakan akaun bank atas nama Mimi Shahira, Wandi Yanto, Tengku Asmazatul dan Neni Suzliana Surainan.

Bagaimanapun, pengadu tidak menerima sebarang stok pelitup muka daripada Syahkirah untuk tempahan pelanggannya, menyebabkan pengadu kerugian RM76,900.

Kes itu disiasat Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Mustakin Najri, Inspektor Norsyami Ibrahim dan Sarjan Nor Lela, masing-masing dari Bahagian Siasatan Jenayah Komesial Klang Utara, di sini.

Kertas siasatan turut menyatakan, pada 19 Mac 2020, jam 2.26 petang, seorang pengadu dari Pangsapuri Impian Meru, Taman Saujana Meru, Klang telah melayari laman sosial Facebook dan bertanya dalam grup Meru Food Chanel berhubung penjualan topeng muka murah.

Pengadu kemudian berurusan dengan tertuduh yang menggunakan akaun Facebook atas nama Kierana Rush dan membuat tempahan sebanyak 6,910 kotak dengan harga RM345,500 yang dibayar atas nama Syahkirah.

Pengadu mempunyai 14 ejen menjual topeng muka di bawahnya yang perlu dibayar balik kerana belum menerima topeng muka itu.

Kemudian, pada 27 Mac 2020, seorang pengadu yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran turut membuat laporan ditipu oleh tertuduh setelah mengalami kerugian kira-kira RM6,600 untuk tempahan 120 kotak pelitup muka.

Pada jam 11.09 pagi, pengadu mendakwa, tertarik untuk membeli pelitup muka itu kerana dimaklumkan oleh seorang lelaki bernama Shahrin, tertuduh menjual dengan harga RM55 satu kotak mengandungi 50 keping.

Menyifatkan harga itu sebagai murah berbanding yang dijual penjual di luar, pengadu terus berurusan dengan tertuduh.

Selepas membuat bayaran, pengadu diberitahu oleh tertuduh, bekalan itu akan diterimanya dalam tempoh lima hari, namun tidak sampai dan tertuduh memberi pelbagai alasan lagi dengan dakwaan stok bekalan akan tiba dalam masa beberapa hari.

Tidak puas hati dengan alasan itu, pengadu terus membuat laporan di balai polis.

Pada 2 April 2020 pula, kira-kira jam 7 malam, seorang lagi pengadu dari Kampung Bukit Kapar, Klang mendakwa berurusan dengan tertuduh untuk tempahan 100 kotak pelitup muka dan membayar sebanyak RM5,000.

Hari sama, jam 7.15 malam, seorang lagi pengadu, iaitu mangsa seterusnya turut membuat tempahan 1,200 kotak dengan membayar RM60,000.

Pada 5 April 2020, seorang perempuan iaitu peniaga memaklumkan pada jam 7.30 pagi ketika berada di rumah di Taman Meru Makmur, Klang telah membeli pelitup muka secara borong dari tertuduh dan membuat pindahan wang melalui mesin ATM sebanyak RM10,000.

Sehingga kini, pelitup muka itu tidak diterimanya dan tertuduh memberi alasan bekalan itu ditahan di warehouse yang tidak diketahui alamatnya.

Pengadu mengesyaki telah diperdaya oleh tertuduh sehingga mengalami kerugian kira-kira RM10,000.

Berikutan aduan itu, pada 23 April 2020, polis telah menahan tertuduh dan hasil siasatan, tertuduh menyatakan tidak dapat membekalkan pelitup muka yang ditempah pengadu kerana tidak cukup wang untuk membayar kepada pembekal.

Namun, pada 18 Jun lalu, polis menahannya sekali lagi di pekarangan Balai Polis Bandar Baru Klang dan didakwa di Mahkamah Majistret Klang hari ini atas tujuh pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu, gagal membayar ikat jamin. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.