Dr. Fadhli Suhaimi bersama dua pembantu perubatan,, Shahrul Nizam Radzuan (kiri) dan Muhd Nurashraf Ahamed (kanan) berpakaian lengkap Powered Air-Purifying Respirator (PAPR) sebelum memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 yang berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

AMERIKA SYARIKAT – Jumlah kematian akibat virus Covid-19 di seluruh dunia terus meningkat sebanyak 6,000 kes dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Menurut data Johns Hopkins University, jumlah kumulatif kematian global kini mencecah angkat setengah juta iaitu 457,190.

Amerika Syarikat kekal negara yang merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 118,000 kes.

Brazil dan United Kingdom berada di kedudukan kedua dan ketiga dengan masing-masing merekodkan 47,000 dan 42,000 kes korban pandemik tersebut.

Kes kematian di Itali akibat virus berkenaan pula melebihi 34,000 kes.

Sementara itu, Perancis dan Sepanyol masing-masing mencatatkan 29,000 dan 28,000 kes maut.

Negara lain masih mencatatkan angka korban di bawah 20,000 kes.

Sementara itu, jumlah pesakit yang telah sembuh daripada virus itu meningkat kepada lebih 4.2 juta orang setakat ini. – MalaysiaGazette