Anggota polis trafik mengawal laluan jalan raya sempena hari Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Institut Kemahiran Belia Negara Pekan, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 20 JUN 2020

CHINI – Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan dikawal ketat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak jam 7 pagi tadi.

Ia ekoran proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 Chini yang akan berlangsung disini jam 9 pagi nanti.

Para pengamal media dan wartawan tidak rasmi juga tidak dibenarkan memasuki pekarangan pusat penamaan ini kecuali RTM dan Bernama.

Pusat penamaan ini akan dibuka kepada proses penamaan calon bagi PRK DUN Chini jam 9 pagi ini.

Untuk rekod, ini adalah PRK pertama seumpamanya diadakan tanpa perarakan mana-mana calon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ia ekoran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), 10 Jun lalu.

Difahamkan penyokong Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN) berkumpul di Paloh Hinai bagi meraikan calon mereka.

Sehingga kini, PRK N23 DUN Chini memperlihatkan pertembungan dua penjuru di antara calon bebas dan BN yang mempertaruhkan Pengerusi Majlis Belia FELDA Wilayah Kuantan, Mohd Sharim Md Zain, 41, sebagai calon parti itu.

Sebelum ini Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pekan, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin mengumumkan untuk bertanding untuk tiket Bebas pada PRK kali ini.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas.

Pada PRU14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast