Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain (tengah) diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin (kiri) beramah mesra bersama penduduk pada Program Perjumpaan Bersama Generasi Felda Chini sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Chini Timur 1, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 21 JUN 2020.

CHINI – Kehadiran dua calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 anyalah pengacau kepada kemenangan Barisan Nasional (BN).

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, kehadiran kedua-dua calon bebas itu menyebabkan kerajaan terpaksa memperuntukkan sejumlah RM4.3 juta semata-mata untuk mengadakan pilihan raya di sini.

“Mereka ini mengacau sahaja. Patut kalau tidak ada pertandingan, kita tidak belanja RM4.3 juta, ini kerana mereka berdua yang pentingkan diri sendiri tidak pasal-pasal kerajaan terpaksa keluarkan RM4.3 juta untuk adalah PRK.

“Kalau mereka datang, cakap sudah ada calon,” katanya ketika mengiringi calon BN, Mohd Sharim Md Zain ketika program perjumpaan bersama generasi Felda di Felda Chini Timur 1, semalam.

PRK DUN Chini diadakan pada 4 Julai depan selepas pencalonan dua calon Bebas iaitu bekas Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Pekan, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan aktivis Mohd Shukri Mohd Ramli diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin bercakap pada Program Perjumpaan Bersama Generasi Felda Chini sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Chini Timur 1, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 21 JUN 2020.

Mengulas lanjut, Shahaniza berkata kedua-dua calon itu hanya mengambil kesempatan sempena tumpuan yang tertumpu kepada Chini kini.

“Calon bebas berdua itu memang mengambil kesempatan. Dia bagitahu dia anak jati Pahang tapi tidak ada jiwa.

“Ada seorang calon bebas itu kata bawa suara anak Chini kononnya ada pembalakan haram perlombongan haram dan sebagainya.

“Yang seorang tu lagi dia kata cucu Mat Kilau, saya boleh kata begitu,” katanya lagi.

Untuk rekod, Pakatan Harapan (PH) tidak menghantar calon bagi PRK Chini kali ini atas alasan pendemik Covid-19.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur, akibat serangan jantung, dan SPR menetapkan 20 Jun ini sebagai hari penamaan calon, dan 4 Julai sebagai hari mengundi. – MalaysiaGazette