Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A. Vigneswaran melancarkan buku “Prevailing Democracy in Malaysian Parliament” pada Majlis Tamat Tempoh Yang Dipertua Dewan Negara di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional diminta mengembalikan semula kuasa Raja-Raja Melayu di bawah Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan yang dipinda pada tahun 1993.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, terdapat keperluan untuk mengembalikan semula kuasa Raja-Raja Melayu memandangkan pindaan itu dibuat tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Lantaran itu, katanya, kedaulatan institusi raja perlu dikembalikan semula.

“Kita harus mengembalikan kuasa Raja-Raja Melayu seperti pada zaman kemerdekaan.

“Dalam banyak-banyak perkara penting, kuasa Raja-Raja Melayu sangat diperlukan bagi menjamin kestabilan politik dan masa depan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis jamuan perpisahannya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara di Dewan Banquet, Parlimen di sini hari ini.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A. Vigneswaran (tengah) beramah mesra dengan sebahagian kakitangan Parlimen yang hadir pada Majlis Tamat Tempoh Yang Dipertua Dewan Negara di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 JUN 2020.

Untuk rekod, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri keempat di bawah Kerajaan Barisan Nasional telah membuat pindaan kepada Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan tersebut telah melucutkan raja daripada kekebalan undang-undang kerana didapati bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan yang dilakukan itu menyaksikan perubahan itu termasuk mewujudkan mahkamah khusus untuk sultan yang melanggar undang-undang yang akan diadili oleh Majlis Raja-Raja.

Pindaan tersebut berkuatkuasa pada 30 Mac 1993.

Vigneswaran menambah, pergolakan politik hingga menyebabkan ketidakstabilan sebelum ini diselesaikan setelah adanya campur tangan Yang di-Pertuan Agong.

“Oleh sebab itu kuasa Raja-Raja Melayu perlu dikembalikan.

“Adalah menjadi hasrat saya sebagai bekas Yang Dipertua yang telah bersara untuk meminta pemerintah menarik kembali pindaan kontroversi tahun 1993 yang diperdebatkan sehingga hari ini,” ujarnya sambil memaklumkan ada membuat penyelidikan berhubung perkara itu selepas menghadiri persidangan speaker-speaker di Johor sebelum ini.

Tambahnya, sebagai sebuah negara majmuk, pemikiran ahli-ahli politik adalah berbeza-beza mengikut partisan tetapi perkara tersebut tidak berlaku kepada Raja-Raja Melayu.- MalaysiaGazette