Pelanggan berbaris dengan penjarakan sosial sebelum memasuki premis perniagaan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mencegah penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 14 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta terus aktif membuat pemantauan terhadap orang ramai sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana masih ada dalam kalangan masyarakat yang mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan.

Presiden Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, cadangan itu dibuat selepas mendapati orang ramai mengambil sikap sambil lewa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka (bagi tempat tertentu dan mengikut keperluan), penggunaan cecair pembasmi kuman di premis dan sebagainya.

“Saya sendiri melihat apabila kerajaan melonggarkan syarat dalam PKPP dan normal baharu dengan membenarkan sektor ekonomi bergiat aktif semula, kebanyakan pengguna dan para peserta sektor perniagaan mula mengambil sikap sambil lewa terhadap pematuhan yang ditetapkan.

“Sikap berkenaan tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya tugas penguatkuasaan pihak berkuasa beruniform, jabatan kesihatan, PBT, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna dan agensi lain perlu digembleng semula untuk melakukan pemantauan berasaskan peraturan yang sedia ada,” katanya di sini.

Menurut Ahmad Shukri, sikap mudah selesa dan leka serta kelonggaran rasa waspada dalam kalangan rakyat dikhuatiri boleh mengundang penularan wabak tersebut semula seperti negara-negara lain yang telah mengalaminya.

“Difahamkan walaupun negara berkenaan mengetatkan aspek SOP keselamatan dan kesihatan, tetapi jangkitan wabak tersebut masih berlaku tanpa diketahui puncanya dan hal ini yang membimbangkan kita,” katanya.

 

Dr. Ahmad Shukri Ismail

Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata, Perdim juga akur dengan kehendak Kementerian Pendidikan untuk membuka kelas peperiksaan pelajar Tingkatan Lima, Tingkatan Enam serta bagi pelajar antarabangsa.

Bagaimanapun katanya, ia tidak perlu dipercepatkan pembukaan kelas-kelas lain membabitkan semua pelajar rendah dan menengah, iaitu dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat.

“Perdim berpandangan sesi persekolahan sewajarnya digantung hingga tahun depan supaya wabak ini diisytiharkan pulih oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Namun sekiranya, rantaian wabak ini dapat diputuskan dalam tempoh singkat beberapa bulan ini, maka Majlis Keselamatan Negara boleh menimbang hasrat untuk membuka semula sesi persekolahan.

“Tetapi kami mencadangkan sekurang-kurangnya sekolah dibuka pada awal bulan Oktober tahun ini,” katanya.

Ahmad Shukri berkata, pelaksanaan kelas peperiksaan mulai 24 Jun ini serta operasi pembelajaran kelas tadika dan prasekolah tidak lama lagi memberi impak khususnya dalam mengenal pasti wujud atau sebaliknya kluster baharu . Ini boleh dijadikan penilaian kepada kerajaan untuk mempercepatkan atau menggantung sementara sesi persekolahan sepenuhnya.

Mengulas kebimbangan ibu bapa murid Tahun Satu, Tahun Dua dan Tahun Tiga berkemungkinan ‘terbantut’ penguasaan kemahiran membaca, menulis, mengira dan sebagainya dalam kalangan pelajar, beliau berharap semua penjaga tidak perlu bimbang kerana Kementerian Pendidikan mempunyai mekanisme tertentu seperti olahan silibus baharu dan komitmen kepakaran guru yang boleh mengatasi masalah berkenaan.

“Apa yang penting sekarang ialah patuhi PKPP dan normal baharu dengan pengisian amalan keselamatan dan kesihatan dengan memutuskan dahulu rantaian virus Covid-19,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast