Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerima maklumat  terdapat majikan yang tidak mengagihkan subsidi upah kepada pekerja mereka.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, kerajaan akan mengambil tindakan terhadap majikan-majikan berkenaan kerana perbuatan itu adalah satu pelanggaran syarat-syarat.

“Saya berharap bantuan rangsangan ekonomi ini tidak disalah guna dan majikan lebih bertanggungjawab.

“Jangan ambil kesempatan dan jangan menganiaya pekerja anda,” tegasnya.

Menurutnya, pelaksanaan Program Subsidi Upah telah menyelamatkan 2.4 juta pekerjaan.

Kadar pengangguran Malaysia meningkat kepada 778,800 orang atau 5% pada bulan April disebabkan oleh penutupan pelbagai sektor ekonomi semasa Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat untuk membendung wabak Covid-19 dalam bulan Mac dan April.

Sebagai perbandingan, kadar pengangguran terkini di Filipina adalah 17.7%, India 23.5%; USA 13.3%; China 5.9% dan pelbagai negara di Eropah juga mengalami kadar pengangguran dua angka.

Menurutnya, dengan program Subsidi Upah yang diperluaskan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) mulai 15 Jun lalu, majikan boleh memohon subsidi upah untuk pekerja mereka yang diberi cuti tanpa gaji.

”Dengan usaha ini, diganding dengan pembukaan hampir kesemua sektor ekonomi, kerajaan mensasarkan kadar yang bertambah baik terutamanya pada suku ketiga dan keempat tahun ini, InsyaAllah,” katanya di sini.

Sehingga 19 Jun, sebanyak RM4.89 bilion telah diluluskan bagi 303,596 majikan yang memanfaatkan lebih 2.40 juta pekerja.

Bagi program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP) KWSP, sehingga 19 Jun 2020, sebanyak 34,246 permohonan telah diterima dan sebanyak 8,489 diluluskan bernilai RM56.8 juta bagi caruman KWSP majikan.

Ini adalah peningkatan daripada RM47.9 juta minggu lalu.

Walau bagaimanapun, dengan pembukaan ekonomi secara berperingkat sejak 4 Mei lalu, jumlah ini dijangka akan berkurangan pada bulan-bulan akan datang. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Btul, apa yg di adukn olh org ramai..ramai majikan yg bolok upah sabsidi gaji pekerja di mkn olh syrikat..terutama syrikat2 milik kaum cina…

Comments are closed.