Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Big Blue Capital (M) Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap kepada media berkenaan cadangan mengambil pekerja e-hailing yang dibuang secara besar-besaran oleh GRAB di Pejabat Big Blue Capital, Wisma Central, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Syarikat pengendali teksi, Big Blue Capital Sdn Bhd membuka pintu seluas-luasnya untuk mengambil seramai 360 kakitangan Grab yang telah diberhentikan kerja.

Presidennya, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, tawaran itu diberikan bagi membantu mereka yang telah diberhentikan oleh syarikat e-hailing berkenaan.

“Saya ingin mengumumkan kepada kakitangan Grab dan juga pekerja syarikat e-hailing yang lain di negara ini untuk mohon bekerja dengan syarikat kami Big Blue.

“Saya mengambil inisiatif ini untuk mengembangkan platform Big Blue selain dapat mengembangkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Shamsubahrin berkata, Grab telah membuat keputusan yang tidak munasabah apabila memberhentikan sebilangan kakitangan hanya semata-mata menjadikan penularan Covid-19 sebagai alasan untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, syarikatnya terpanggil untuk membantu bekas kakitangan syarikat terbabit ekoran memahami rakyat memerlukan pekerjaan manakala Big Blue mempunyai strategi baharu perniagaan melalui pelbagai platform.

Shamsubahrin merasakan para pekerja yang diberhentikan itu memiliki kualiti serta kebolehan tertentu dan disebabkan itu mereka harus diberi peluang mendapat pekerjaan baharu.

Minggu lalu, media melaporkan Grab akan menghentikan lebih kurang 360 kakitangan atau hanya di bawah lima peratus daripada jumlah pekerja ekoran perniagaan mereka terjejas akibat Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Grabm Anthony Tan memaklumkan beliau yakin Grab merupakan syarikat terakhir yang melaksanakan pembuangan pekerja secara besar-besaran pada tahun ini.

Katanya, sejak beberapa bulan lepas, syarikat e-hailing itu telah menyemak semua kos, mengurangkan perbelanjaan dan melaksanakan potongan gaji ke atas pengurusan kanan.

Bagaimanapun, syarikat itu menyedari masih perlu membuat langkah jimat cermat bagi menangani cabaran-cabaran ekonomi pasca-pandemik.

Untuk mencapai matlamat tersebut, Grab menghentikan beberapa projek bukan teras, menggabungkan beberapa fungsi bagi kecekapan yang lebih besar dan membentuk semula pasukan agar ia lebih sesuai dengan keperluan perniagaan yang sentiasa berubah berdasarkan kepada persekitaran luaran.

Dalam perkembangan sama, Shamsubahrin memberitahu, kakitangan Grab yang terlibat boleh menghantar permohonan masing-masing kepada Big Blue dengan kadar segera.

Katanya, beliau hanya mahu pekerja yang benar-benar berdedikasi dan peluang itu terbuka di semua peringkat daripada pentadbiran hinggalah ke bahagian servis.

Tambahnya, mereka yang memohon akan dinilai dari segi kelayakannya dan permohonan turut dibuka kepada
semua kakitangan syarikat e-hailing lain yang turut diberhentikan. – MalaysiaGazette