Seramai 11 kakitangan Risda didakwa di didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. foto Bernama

KUALA TERENGGANU – Tindakan 11 Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Kemaman, membuat tuntutan palsu mengundang padah apabila mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Kesemua tertuduh iaitu tujuh lelaki dan empat wanita, berusia lingkungan 28 hingga 49 tahun mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut membabitkan bayaran hotel serta elaun perjalanan dalam negeri.

Mereka yang didakwa ialah Wahida Syukriah Haron, 29; Wahida Wahab, 33; Azzere Sidi Ahmad, 29; Mohd Alias Ramli, 29; Noramelia Abdul Razak, 29; Aqilah Zainal Annuar, 30 dan Mohd Dina Che Man, 30.

Turut dituduh ialah Mohd Khairol Mat Khalib, 38; Mohd Noorhisyam Zakaria, 38; Muhammad Faiz Irzwan Abdul Ghani, 27 dan Zainal Ahmad, 35.

Turtuduh yang didakwa di hadapan Hakim Noriah Osman, terdiri daripada penolong pegawai pertanian, pembantu tadbir dan pembantu operasi.

Masing-masing mengaku bersalah dalam pertuduhan alternatif iaitu menggunakan dokumen palsu yang merupakan resit beberapa buah hotel termasuk Kuala Lumpur International Hotel, Angulia Beach House dan  Adamson Inn Kuala Lumpur, bernilai antara RM120 hingga RM380.

Selain itu, beberapa tertuduh turut didakwa menggunakan dokumen palsu bagi menuntut elaun makan dan perjalanan yang bernilai antara RM20 hingga RM85, di pejabat Risda Kemaman, pada April 2018.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah 465 kanun yang sama, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, peguam Mohd Hayyatuddin Muhamad yang mewakili kesemua tertuduh merayu agar mahkamah membenarkan anak guamnya diberi jumlah jaminan yang rendah memandangkan mereka masih perlu menanggung keluarga serta mempunyai anak kecil.

Hakim Noriah kemudiannya membenarkan masing-masing dijamin antara RM2,000 hingga RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta menetapkan esok untuk jatuh hukum.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin Wan Ladin. – MalaysiaGazette