Mangsa, Ida Ghazali bersama laporan polis yang dibuat di Balai Polis Wangsa Maju semalam.

KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran yang tinggi kepada 610,500 orang yang didedahkan Jabatan Perangkaan sejak krisis pandemik Covid-19 mendesak rakyat melakukan apa sahaja kerja untuk sesuap nasi.

Ia juga membuka ruang dan peluang kepada sindiket penipuan mengambil kesempatan memperdaya dan menipu orang ramai yang sedang terdesak.

Terkini, modus operandi sindiket tawar kerja online ini ialah menawarkan komisen RM2.50 bagi kerja pembungkusan hadiah di rumah dengan semua barang disediakan oleh ‘majikan’.

Bagaimanapun sindiket berkenaan menetapkan bayaran pendaftaran RM70 sebagai wang sekuriti kerana kononnya bimbang mereka yang berminat membatalkan kerja itu di saat akhir.

Sindiket menggunakan laman sosial Facebook (FB) sebagai platform untuk iklan dan ini menjadikan statistik penipuan atas talian sejak krisis ekonomi negara semakin bertambah.

Kegiatan sindiket ditularkan beberapa netizen yang mendakwa mereka menjadi mangsa pemilik FB yang bernama Nikky Nik menggunakan modus operandi sama.

Seorang pencari kerja mendakwa dirinya ditipu oleh pemilik FB berkenaan yang menawarkan khidmat kerja dari rumah.

Mangsa, Ida Ghazali, 37, berkata, beliau membaca satu iklan di FB suspek pada 19 Jun lalu dan tertarik dengan kerja sampingan membungkus hadiah (door gift) di rumah yang ditawarkan.

“Beliau janji akan menghantar semua barang untuk dibungkus yang dakwanya bernilai RM500 pada hari Isnin lalu namun selepas bayaran pendaftaran RM70 dibuat ke akaun CIMB di bawah nama Muhamad Aniq Arifin, talian berkenaan gagal dihubungi sehingga ke hari ini.

“Saya sedih sudahlah baru kehilangan kerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lalu dan RM70 itu adalah duit terakhir saya ada.

“Telah banyak kes-kes yang dilaporkan tetapi kenapa masih berleluasa dan seolah tiada sebarang tindakan berkesan oleh pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia,” katanya.

Ida tampil membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju di sini, jam 9 malam semalam.

Tinjauan ke laman FB suspek didapati masih aktif menyiarkan iklan untuk pencari kerja.

Sebagaimana yang dialami Ida, penipuan menggunakan internet ini semakin berleluasa selaras dengan perkembangan teknologi dan capaian internet, tambah lagi hanya memerlukan telefon pintar sahaja.

Ada yang membeli telefon bimbit yang diterima lesung batu, beli tablet pintar yang diterima alat mainan video, beli barang yang elok yang diterima rosak.

Kesimpulannya, lain yang dipesan, lain yang dibeli lain pula yang diterima.

Lebih teruk lebih berani lagi bayaran yang dibayar tetapi langsung tidak terima apa-apa malah penjualnya pula ghaib.

Walau apa pun tetap pengguna juga menjadi mangsa dan sedihnya tiada persatuan pengguna yang boleh melindungi atau memberi penyelesaian.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast