Para pekerja sedang membersihkan perkarangan luar Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di New Delhi. foto AP

NEW DELHI – India mengusir separuh daripada kakitangan di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pakistan, di sini kerana menuduh para diplomat mengintip dan berurusan dengan pengganas.

India juga akan mengurangkan kakitangannya di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi di Pakistan, kata Kementerian Hal Ehwal Luar.

Setakat ini tidak ada tindak balas segera daripada Pakistan.

Hubungan antara dua buah negara nuklear itu tegang setelah India mengusir dua kakitangan Pakistan tiga minggu lalu.

India mendakwa kakitangan Pakistan cuba mendapatkan maklumat mengenai pergerakan tentera India.

Bagaimanapun, media India mencadangkan perkembangan terkini itu didorong oleh tuduhan penganiayaan dua kakitangan India di Islamabad.

Minggu lalu, kerajaan India menuduh Pakistan menculik dua kakitangannya tetapi Pakistan memaklumkan mereka ditahan oleh polis kerana melanggar pejalan kaki ketika memandu.

Menurut akhbar Hindustan Times, kedua-dua negara mempunyai kekuatan 110 kakitangan di pejabat Pesuruhjaya Tinggi masing-masing walaupun jumlah sekarang sebenarnya sekitar 90 orang sahaja.

Keputusan India bermakna kedua-dua Pesuruhjaya Tinggi perlu menghantar balik seramai 35 kakitangan dalam masa seminggu ini.

“Mereka (kakitangan Pakistan) telah terlibat dalam tindakan pengintipan dan menjaga hubungan dengan organisasi pengganas,” kata Kementerian Hal Ehwal Luar India. – MalaysiaGazette