Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan ibadah korban bagi semua masjid dan surau di bawah pihak berkuasa agama Wilayah Persekutuan dan boleh dijadikan rujukan kepada negeri-negeri lain juga.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, penganjur perlu melaporkan aktiviti ibadah korban yang akan dijalankan semasa perayaan Aidiladha pada hujung bulan Julai kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat.

Kapasiti kehadiran petugas dihadkan tidak melebihi 30 orang bagi menguruskan seekor lembu.

Dengan itu, pihak penganjur hendaklah memastikan bilangan korban adalah bersesuaian dengan keupayaan bilangan petugas yang dilantik.

Proses melapah dan proses keratan pembahagian daging korban hendaklah dibuat di tempat yang sesuai dan lapang dan elakkan 3S (sesak, sempit dan sembang dekat).

“Proses sembelihan digalakkan untuk menggunakan peralatan dan sistem moden dalam sembelihan seperti “sangkar sembelihan” katanya semasa sidang media hari ini.

Menurut Ismail Sabri, selain daripada masjid, surau serta kawasan yang telah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Agama Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terdapat 28 Rumah Sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta 31 Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan oleh DVS dibenarkan untuk menjalankan penyembelihan.

Bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19, SOP yang ditetapkan perlu dipatuhi adalah pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan rekod kehadiran jemaah di pintu masuk kawasan penyembelihan.

Petugas yang dipilih hendaklah sihat, tidak bergejala dan bukan dalam kalangan pengidap penyakit kronik dan bukan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

Mereka perlu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera serta memastikan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter, memakai pelitup muka dan sarung tangan.- MalaysiaGazette