Logo Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

KUALA LUMPUR – Aktiviti perdaftaran perniagaan semakin rancak sejak kebelakangan ini khususnya setelah beberapa inisiatif diperkenalkan bagi membantu mengurangkan beban komuniti perniagaan dan sektor korporat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Meskipun tidak mempunyai jumlah spesifik untuk membandingkan jumlah syarikat gulung tikar akibat wabak ini dengan yang sedang membangun,  namun situasi terkini disifatkan  Pengerusi SSM Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad sebagai perkembangan positif.

“Aktiviti-aktiviti pendaftaran perniagaan dan sebagainya telah mula rancak dilaksanakan kita tidak tahu yang mana aktif tidak aktif kita akan tahu sedikit masa lagi,” katanya dalam sidang media di Menara SSM hari ini.

Antara inisiatif Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebagai sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggun (KPDNHEP) untuk membantu syarikat tempatan baru-baru ini adalah memperkenalkan tempoh moratorium selama 30 hari selepas tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lanjutan ini khusus untuk tujuan serahan dokumen statutori kepada suruhanjaya berkenaan.

“Dalam tempoh moratorium tersebut fi lewat serah simpan akan dikecualikan,” katanya.

Selain itu SSM turut memberikan lanjutan 90 hari kepada syarikat untuk urusan edaran dan serah simpan penyata kewangan, dalam masa yang sama mengecualikan pembayaran yuran RM100.

“Inisiatif ketiga SSM telah melanjutkan tempoh untuk pematuhan seksyen 241 Akta Syarikat 2016 bagi CPE bagi setiausaha syarikat sehingga 31 Disember 2020 tertakluk kepada syarat-syarat tertentu,” jelasnya.

Seterusnya menurut Hasnol SSM menaikkan nilai ambang keterhutangan (indebtedness) dari RM10,000 kepada RM50,000 bermula 23 April sehingga 31 Disember 2020.

Ini kata beliau demi mengurangkan tindakan penggulungan tikar syarikat.

Lanjutan tempoh pelaksanaan ‘Kempen Pematuhan Tahun 2020 Akta Syarikat 2016’ kepada 30 Jun ini juga telah diumum dengan mengurangkan kadar kompaun sehingga 90 peratus.

“Inisiatif keenam memperkenalkan pengecualian kelulusan bagi Syarikat Berhad  Menurut Jaminan (SBMJ) dalam kutipan sumbangan bagi membantu masyarakat yang kesempitan wang terjejas akibat Covid-19 dibantu,”Hasnol berkata.

SSM juga melanjutkan  tempoh masa pematuhan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat selama 90 hari.

“Syarikat turut diberikan pengecualian kompaun ke atas kelewatan pembaharuan pendaftaran perniagaan sehingga 31 Disember 2020,” katanya lagi.

Untuk rekod, semua inisiatif ini adalah termasuk dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan kerajaan sebelum ini.-MalaysiaGazette