KUALA LUMPUR – Lembu daripada charolais yang dianggarkan hampir sebarat satu tan seekor antara tarikan program Berkat Korban anjuran AEON Co.(M) Sdn Bhd (AEON) tahun ini.

Program yang membuka peluang kepada masyarakat negara ini yang menawarkan 50 ekor lembu dari baka berkenaan mendapat kerjasama kumpulan Facebook Suami Masak Apa Hari Ini? (SMAHI) dan Koperasi Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (KOOP GTR).

Ia merupakan usaha memudahkan orang ramai melaksanakan ibadah korban dalam suasana norma baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin berkata, pihaknya menyedari halangan umat Islam menyambut Aidiladha berbeza tahun ini dengan mengambil langkah untuk mengekalkan keselamatan dan kesihatan setiap individu dalam mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Dalam situasi hari ini, surau dan masjid seluruh negara terpaksa menghadkan aktiviti keagamaan termasuklah ibadah korban yang boleh dilakukan berbeza dari tahun sebelum ini.

“Menyedari cabaran yang dihadapi pelanggan kami, AEON bersyukur kerana dapat menyediakan ruang melalui program Berkat Korban untuk membantu masyarakat Muslim melakukan ibadah ini dengan cara yang sistematik,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran program Berkat Korban di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Badan Penasihat Syariah, Datuk Dr Mohd Daud Bakar; Pengerusi Koop GTR, Nordin Mat dan pengasas SMAHI, Mohd Salleh Abd Hamid.

Selain lembu baka Charolais, program korban itu turut menyediakan 1,000 lembu dan 500 ekor kambing dengan pakej harga yang ditawarkan bermula RM799, RM899, RM999, RM1199 dan RM2,799.

Untuk maklumat lanjut, mereka boleh membuat tempahan slot korban secara dalam talian di laman sesawang myaeon.com.my atau smahi.my, selain mendaftar terus di 50 kaunter cawangan AEON seluruh negara mulai 27 Jun ini hingga 25 Julai depan. – MalaysiaGazette