KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyerahkan keputusan kepada institusi perbankan negara sama ada mahu melanjutkan tempoh moratorium atau penangguhan bayaran balik pinjaman kewangan yang berakhir September ini.
Namun Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz secara peribadi berpendapat, golongan masyarakat yang terkesan dengan wabak Covid-19 sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu diberi keutamaan untuk dibantu.
Jelas beliau, institusi bank boleh mensasarkan kepada kumpulan yang terjejas seperti hilang pekerjaan dan gaji yang dipotong untuk meneruskan tempoh penangguhan pembayaran itu.
“Ramai yang bertanya soalan ini dan kerajaan masih dan sentiasa berurusan dengan pihak bank. Secara peribadi, saya berpendapat kita tolong-menolong orang yang perlu ditolong.
“Masa kita buat moratorium hari itu, kita tolong semua orang dan automatik sama ada yang ada gaji masih nikmati faedahnya.
“Untuk ke depan, cara terbaik fokus kepada kumpulan sasaran. Ini pendapat saya dan sudah tentu kita tidak boleh paksa pihak bank,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena lawatannya ke Kumpulan Prasarana di sini hari ini.
Pada 23 Mac lalu, Bank Negara membenarkan pelanggan perbankan, termasuk individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menangguhkan pembayaran balik pinjaman sedia ada mereka, termasuk gadai janji dan sewa beli, untuk tempoh enam bulan berkuat kuasa 1 April lalu.
Ia merupakan langkah tambahan untuk mengurangkan beban perniagaan dan isi rumah yang dijangka terkesan oleh penularan Covid-19.
Kelmarin, Malayan Banking Bhd (Maybank), bank terbesar Malaysia dari segi aset muncul sebagai institusi pertama yang memaklumkan tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh moratorium pinjaman yang akan berakhir September ini.
Tengku Zafrul turut menasihati orang agar bersedia lebih awal dengan berjumpa pihak bank dari sekarang.
Jelas beliau, perancangan masa depan adalah penting dan jangan tunggu hingga terlalu lewat.
“Anda boleh tahu lepas September ini anda boleh ke bayar pinjaman terutamanya yang hilang pekerjaan dan gaji dikurangkan.
“Tolong jumpa pihak bank sekarang untuk penstrukturan semula pinjaman,” katanya. – MalaysiaGazette