KUALA LUMPUR – Ketua Wanita Keadilan Pusat, Haniza Talha dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR antara lima pemimpin dilucut keanggotaan parti berkuatkuasa serta-merta.
Dua ADUN itu ialah Dr. Afif Bahardin (DUN Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (DUN Sg. Acheh, manakala dua lagi ialah Ketua Wanita Keadilan Sabah, Rahimah Majid, dan Ketua Wanita Keadilan Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria.
Menurut Pengerusi Lembaga Disiplin Keadilan, Datuk Ahmad Kassim, keputusan itu dibuat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti dalam mesyuarat bulanan semalam dan mempersetujui syor Lembaga Disiplin agar lima pemimpin berkenaan dilucut keanggotaan, seorang digantung dan tiga diberi amaran.
Anggota yang digantung keahlian ialah Ahmad Raj Abdullah kerana terlibat dalam serangan fizikal terhadap Chua Tian Chang pada 1 Mac lalu.
“Keahliannya digantung sehingga selesai siasatan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Sementara itu, tiga pemimpin yang diberi amaran oleh Lembaga Disiplin Keadilan ialah Naib Presidennya, Chua Tian Chang; Pengarah Komunikasi Wanita Pulau Pinang, Carolyn Khor; dan ADUN Machap Jaya, Ginie Lim.
Pada Mei lalu, Lembaga Disiplin Keadilan memecat 348 ahli dan pemimpin, termasuk dua wakil rakyatnya selepas didapati melanggar disiplin parti.
Wakil rakyat yang dipecat itu ialah ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Batu Lintang, See Chee How, manakala Haniza dan Dr. Afif ketika itu digantung keahlian.
Dr. Afif bagaimanapun, mengumumkan keluar PKR pada 24 Junlalu untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau mengesahkan akan duduk bersama wakil rakyat Bersatu di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada sidang DUN November ini.
PKR juga menerima kejutan, apabila ADUN Sementa yang juga Timbalan Ketua Wanita Keadilan Pusat, Dr. Daroyah Alwi mengumumkan keluar parti dan meletakkan semua jawatan dalam PKR pada 13 Jun lalu. – MalaysiaGazette