KUALA LUMPUR – Wanita UMNO Malaysia menggesa Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan segera dan tegas terhadap individu yang telah mengubah suai lambang Jata Negara.
Ini kerana tindakan tersebut telah menghina bukan sahaja lambang rasmi kedaulatan Malaysia tetapi negara Malaysia ini sendiri.
Selain boleh menggunakan Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 3 tahun dan denda sehingga RM20,000, Akta Hasutan juga boleh dikenakan kerana ubah suai lambang Jata Negara itu secara terang-terangan mahu menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Malah ia seakan-akan mahu menyebarkan kebencian antara kaum dan agama, tegas Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad.
Wanita UMNO juga mendesak kerajaan mengharamkan dan merampas buku ini daripada dijual di mana-mana kedai buku.
Katanya, sekiranya buku ini berjaya diedarkan, maka Wanita UMNO bimbang akan ada individu yang bakal terpengaruh sekaligus memberi impak negatif kepada generasi muda khususnya.
“Perkara ini amat serius dan tidak boleh dipandang ringan maka sekali lagi Wanita UMNO mendesak pihak berwajib mengambil tindakan segera,” tegasnya.
Beliau mengulas mengenai kulit sebuah buku yang bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope In New Malaysia’
yang disunting oleh penulis, Kean Wong.
Buku tersebut mempamerkan sebuah logo mirip jata negara yang telah diubah suai sebagai penghias muka hadapan turut dikongsi di pautan laman sosial Facebook sebuah syarikat buku, Ilham Books. – MalaysiaGazette