Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPN, Datuk Saadon Othman menunjukkan cara menggunakan mesin pengimbas suhu dan pengimbas wajah bertopeng kepada seorang pelanggan yang berurusan di JPN Putarajaya. Gambar: Mohd Zaini Samsu Hadi

PUTRAJAYA – Dalam usaha memastikan rantaian Covid-19 diputuskan, kerjasama daripada pelbagai pihak sangat diperlukan.

Tanggungjawab itu bukan sahaja daripada individu malah melibatkan semua sektor sama ada kerajaan mahupun swasta.

Menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR), sebuah syarikat dari China menyumbangkan kepada Malaysia mesin pengimbas suhu dan pengimbas wajah bertopeng (UNV Intelligent Temperature Measurement Facial Control).

Timbalan Pengurus Besar, China-ASEAN Information Harbor Co.Ltd., Guanghui Tian berkata, syarikatnya terpanggil untuk menyumbangkan alat tersebut ekoran bantuan yang pernah dihulurkan oleh negara ini ketika China berdepan dengan penularan pandemik Covid-19 sebelum ini.

Sebagai membalas jasa, kerajaan China telah bersetuju untuk menyumbang beberapa alat pengimbas suhu digital berteknologi tinggi yang lebih tepat bacaaannya kepada Malaysia untuk digunakan ditempat-tempat tumpuan umum.

“Alat yang dicipta dengan teknologi tinggi ini sangat mudah digunakan dan lebih tepat bacaannya berbanding langkah pengambilan suhu badan secara manual kerana pengesanan suhu dibuat dengan menggunakan nadi.

“Malah, ia boleh menyimpan data individu yang telah diambil suhu badannya dan pihak berkuasa boleh mengesan secara pantas sekiranya terdapat individu yang didapati positif Covid-19,” katanya yang memberitahu syarikatnya dipilih kerajaan China untuk membekalkan alat tersebut secara percuma kepada kerajaan Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette selepas menyerahkan satu unit alat berkenaan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini hari ini.

Menurut Tian lagi, alat tersebut juga boleh mengimbas sehingga 10,000 orang setiap hari dan penggunaannya sangat sesuai di pejabat-pejabat kerajaan yang melibatkan ramai orang awam.

Tambahnya, setakat ini syarikatnya telah menyumbang sebanyak sembilan unit alat berkenaan yang kesemuanya diletakkan di pejabat kerajaan termasuk di masjid-masjid dan rumah ibadat terpilih.

Katanya, sumbangan alat tersebut akan ditambah lagi pada masa akan datang dan ia dilakukan secara berperingkat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPN, Datuk Saadon Othman berkata, pihaknya sangat berbesar hati terhadap sumbangan syarikat berkenaan.

Katanya, ia merupakan satu sumbangan yang sangat bermanfaat untuk memudahkan lagi kerja di sektor awam ekoran alat tersebut tidak memerlukan manusia untuk mengawalnya.

“Ini merupakan satu tanggungjawab yang sangat baik dan kami menghargai sumbangan yang diberikan oleh syarikat ini dan kerajaan China.

“Alat yang disumbangkan akan diguna oleh JPN dengan sebaik mungkin demi kesenangan orang ramai yang hendak berurusan dikaunter khidmat pelanggan kami,” ujarnya. – MalaysiaGazette