PELABUHAN KLANG – Jabatan Kastam DiRaja Malaysia berjaya menumpaskan cubaan menyeludup 30.1 juta batang rokok bernilai RM12.04 juta susulan penahanan tiga kontena dalam satu operasi di Pelabuhan Utara, di sini, 25 Jun lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan & Pematuhan), Datuk Johari Alifiah berkata, hasil pemeriksaan Unit Siasatan Dalam (USD) menjumpai rokok berjenama John D-Blend, John JGI dan Boss Blend dengan nilai duti dan cukai sebanyak RM21.07 juta.
“Hasil pemeriksaan kira-kira 11.30 pagi 25 Jun lalu mendapati kesemua rokok seludup itu disyaki barang larangan atau belum lulus Kastam.
“Susulan itu, pihak kastam telah menahan dua lelaki tempatan dan seorang ejen kastam berusia 27 hingga 36 tahun disyaki menguruskan pengikraran dagangan di dalam kontena terbabit.
“Beberapa individu lain yang disyaki juga telah dikenalpasti dan siasatan sedang giat dijalankan bagi tujuan pendakwaan di mahkamah,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Selangor, Pulau Indah, hari ini.
Dalam pada itu, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket adalah membuat pengikraran barang dagangan tidak benar.
“Borang Kastam 1 dihantar untuk pelepasan kastam sebelum kontena yang membawa dagangan tiba di pelabuhan bagi mengelakkan aktiviti mereka dihidu oleh pihak kastam.
“Sindiket juga menggunakan butiran lesen gudang pengilangan berlesen (GPB) serta butiran dagangan yang bukan kritikal bagi mengelirukan pegawai pentaksir untuk tujuan pelepasan dagangan,” katanya.
Menurut Johari, kesemua rokok rentas sempadan itu dipercayai dibawa dari China menggunakan laluan laut, sebelum diseludup ke negara ini untuk pasaran tempatan.
“Rokok seludup ini berasal dari negara Asia Timur iaitu China dan sindiket pula dipercayai kali pertama cuba memasarkan ke pasaran tempatan.
“Kami percaya sindiket ini langkah kiri dan mereka cuba menyeludup rokok ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana masa ini orang ramai agak bebas bergerak,” katanya.
Katanya lagi, kes penyeludupan rokok rentas sempadan ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.
“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih RM20,000 atau dipenjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun.
“Bagi kesalahan di bawah Akta Eksais 1976, boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali nilai duti Eksais atau RM5,000 dan tidak lebih 20 kali nilai duti eksais atau RM500,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette