KUALA LUMPUR – Bawang besar dijual pada harga RM1 bagi sekilogram.
Mustahil bagi sebuah pasar raya di tengah ibu negara boleh menawarkan harga seperti itu.
Bagaimanapun, itulah yang ditawarkan Pasar Raya AJ Best di Jalan Chow Kit di sini kepada warga kota khususnya golongan miskin dan golongan B40 yang di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AJ Best, Abdul Jabbar Shaik Mohamed berkata, tawaran terendah berbanding harga pasar raya dan pasar borong itu ditawarkan pihaknya sejak krisis pengangguran dan pandemik Covid-19.
Katanya, sebanyak 50 item terpilih khususnya keperluan asas dan harian orang ramai seperti makanan basah, telur, Milo, buah-buahan dan lain-lain ditawarkan pada harga luar biasa rendah kepada orang ramai.
“Biarlah pihak lain tidak peduli nasib orang miskin melainkan untuk mengambil keuntungan sahaja.
“Lihatlah dahulu harga barang dinaikkan berganda-ganda dengan alasan minyak naik 20 ke 30 sen tapi sekarang harga minyak sudah turun RM1 pun, harga barang bukan turun malah semakin naik dengan alasan Covid-19 pula.
“Tapi saya cuba buktikan sebaliknya, boleh turunkan harga seperti bawang sehingga RM1 sekilogram berbanding tempat lain paling murah pun pun RM3 sekilogram.
“Contoh lain, lampin pakai buang hanya RM26 berbanding RM33 di tempat lain. Maknanya bukan boleh tak boleh turunkan harga barang tapi hendak atau tidak sahaja,” katanya.
Tambah Abdul Jabbar, perniagaan seperti itu memang tiada untung, hanya cukup pulangkan modal sahaja tetapi ramai yang menikmati manfaatnya.
“Saya pun bukan mampu makan seekor lembu sekali makan. Bukannya mampu mampu makan seekor jerung sekali makan. Cukuplah makan pakai. Alhamdulillah, sama-sama bantu kesusahan golongan miskin di bandar raya.
“Seperti pepatah Melayu, banyak sama dijamah, sikit sama dicicah,” katanya.
Pasar raya itu beroperasi bermula jam 8.30 pagi hingga 8.30 malam dan tawaran harga terendah lebih dari hari biasa atau hot deal setiap Sabtu dan Ahad.- MalaysiaGazette