Datuk Huan Cheng Guan

KUALA LUMPUR – Sememangnya tidak dapat dinafikan populariti Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 diterima umum khasnya ketika negara berdepan dengan Covid-19.

Ketika itu, konflik dan politik ditolak tepi sebaliknya keseluruhan kepimpinan negara bertungkus lumus memerangi pandemik berkenaan.

Parti Cinta Malaysia (PCM) menyatakan sokongan selain mahu lebih masa untuk Muhyiddin terus memimpin negara malah menyenaraikan 10 sebab mengapa Ahli Parlimen Pagoh itu perlu kekal sebagai Perdana Menteri.

Menurut Presiden PCM, Datuk Huan Cheng Guan, beliau yakin dengan keadaan tidak menentu dan kestabilan politik masih dalam tanda tanya, Muhyiddin selayaknya terus mengemudi negara.

Kata beliau, antara 10 sebab yang telah tersenarai olehnya termasuk bagaimana Muhyiddin memimpin ketika berlaku serangan Covid-19 sehingga dunia memuji cara Malaysia menanaganinya.

“Sebenarnya bukan 10 sebaliknya banyak lagi tetapi biarlah senaraikan dulu. Anda sendiri boleh buat perhitungan. Selain Covid-19 ditangani dengan paling efektif, pastinya isu ekonomi juga dikendalikan dengan baik sekali. Secara umumnya, semua pasti setuju.

“Ketika musibah melanda negara, hampir kesemua golongan mendapat bantuan dan terus mendapat perhatian dari masa ke masa.

“Ingat ya, dulu ianya lebih polemik dan isu politik lebih menjadi fokus sebaliknya dengan Muhyiddin, rakyat sebenarnya didahulukan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Selain itu, menurut Cheng Guan, Peguam Negara juga telah dilantik dari golongan profesional dan bukan kroni seperti sebelum ini.

Selain itu, pelantikan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu dengan menaikkan pangkat Timbalan Ketua Pengarah SPRM juga bukan lantikan politik.

“Isu skandal besar seperti terowong di Pulau Pinang yang kini dibuka balik dan bukan seperti yang dilakukan oleh PH dulu, terus tutup,” katanya lagi.

Sambung beliau lagi, kes rasuah di Sabah juga telah dibuka kembali kerana sebelum itu juga antara yang menjadi tanda tanya.

“Hubungan dengan kerajaan negeri Sarawak juga bertambah baik dengan kerajaan, kes mahkamah Petronas dan kerajaan negeri Sarawak juga dapat diselesaikan dengan campur tangan Muhyiddin.

“Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad lebih gemar saman berbanding duduk di meja rundingan, hakikatnya inilah yang terbaik buat rakyat di negeri itu.

“Kita juga banyak berdepan dengan isu diplomatik dengan beberapa besar seperti Cina, India dan Arab sehingga ada yang boikot kita satu ketika dulu ketika PH masih perintah. Kini, semuanya kembali erat juga kerana jasa Muhyiddin,” ujarnya.

Selain itu, kata Cheng Guan, Muhyiddin juga berani kerana benar selepas memecat pengkhianat di partinya sendiri.

“Ingat juga bagaimana selama 22 bulan, rakyat cukup sengsara di bawah pemerintahan PH. Kini lebih selesa, selamat kerana isu-isu berkaitan diberi keutamaan malah kerajaan juga sedang tungkus lumus selesai isu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pastinya beri impak kepada kita.

“Pastinya kita perlu beri Muhyiddin lebih banyak masa, kita perlukan kepimpinan beliau ketika ini. PCM sangat berharap beliau dapat memimpin dengan lebih lama lagi,” ujarnya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast