KUALA LUMPUR – Nama jolokan BossKu kepada Datuk Seri Najib Razak bukan sekadar nama.
Ia adalah satu jenama yang memangkinkan pergerakan politik yang berjaya memenangkan Barisan Nasional (BN) kembali ke landasan asal termasuk meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini baru-baru ini.
Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R.S. Thanenthiran menganggap ‘kekuatan’ Najib memberi sumbangan besar kepada kemenangan itu walaupun bekas Perdana Menteri berkenaan difitnah oleh Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun katanya anak-anak muda khususnya di DUN Chini membuktikan mereka sudah muak dengan janji fitnah PH dan tidak mempercayai tipu muslihat mereka lagi.
“Kerajaan yang naik atas dasar fitnah jatuh kerana fitnah juga. Nun jauh di dalam Felda Chini, kelihatan kereta-kereta berulang alik membawa anak perantauan menjunjung impian Chini memilih.
“Anak anak muda ini yang sudah muak dengan janji manifesto yang akhirnya dikatakan bukan ‘kitab suci’ oleh Atok (Tun Dr. Mahathir Mohamad) telah menunjukkan mereka sudah tidak lagi mempercayai tipu muslihat politik.
“PRK ini menyaksikan calon bebas kehilangan deposit (wang pertaruhan). Kalaulah ini calon mereka (PH) mesti jatuh terpelanting,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malah jelas beliau, PRK yang sama juga menyaksikan seorang pejuang (Najib) yang berjuang sendirian dan berjiwa besar sehingga rela bersama dengan individu yang pernah menghentamnya satu masa dahulu.
Beliau merujuk kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“PRK ini juga menyaksikan bagaimana pejuang (Najib) dengan hati terbuka menerima mereka (Mohamed Azmin) malah mempelawa makan dengan berkata, nak roti canai ke nasi dagang?
“Tidak kira menteri, bekas menteri, abang Mat atau pun Cik Joyah, senyuman dan layanan mesranya adalah sama. Bukan senang nak menjadi seorang pemimpin sebegini.
“Aura (Najib) ini bagaikan magnet menarik semua di luar Chini untuk datang dan menyokong anak muda tempatan ke mercu kejayaan! Chini digegarkan dengan 12,650 undi majoriti kemenangan BN.- MalaysiaGazette