Dua suspek PATI disyaki tekong Indonesia ditahan tentera di Kota Tinggi Johor 9 pagi tadi dalam Op Benteng.

KUALA LUMPUR – Kehadiran sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di ladang kelapa sawit akhirnya berjaya membawa kepada tangkapan dua lelaki warga Indonesia yang disyaki menjadi tekong di Kota Tinggi, Johor.

Menurut kenyataan Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div), suspek ditangkap dalam serbuan Op Bentang jam 9 pagi hari ini.

Katanya, tentera bertindak atas maklumat penduduk tempatan mengenai kehadiran sebuah kenderaan jenis Proton Wira Aeroback yang berada berhampiran Ladang Kurnia di Bandar Penawar, Kota Tinggi dalam keadaan yang mencurigakan.

“Hasil maklumat berkenaan, Pasukan Rejimen Ke-61 Artileri Diraja (RAD) diketuai mula Mej Paiman Mat Don telah diarahkan melaksanakan rondaan di kawasan tersebut.

“Hasil dari tindakan pantas pasukan telah berjaya menangkap dua orang PATI warga Indonesia dipercayai sebagai tekong berada di kawasan tersebut,” kata kenyataan itu.

Jelasnya lagi, sebuah kereta Wira Aeroback yang dipercayai digunakan untuk membawa PATI keluar dari kawasan tersebut dirampas.

“Selain itu turut dirampas tiga unit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM 949.00 menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai hampir RM7,000.

“Tangkapan PATI dan rampasan telah dihantar ke Balai Polis Damai untuk tindakan undang-undang lanjut sebelum pemeriksaan Covid-19 dibuat di Pejabat Kesihatan Kota Tinggi, Johor,” katanya.