Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia, Abdul Rani Kulup bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum bantahan terhadap Yang Dipertua (YDP) MPS di hadapan Pejabat Majlis Perbandaran Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 06 JULAI 2020.

GOMBAK – Kita-kira 40 peniaga kecil dari kawasan Taman Sri Gombak dan kawasan berdekatan lebuhraya MRR2 hari ini menghantar memorandum kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kerana mendakwa sering menjadi mangsa penguatkuasaan.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup berkata, peniaga-peniaga kecil di dua kawasan berkenaan sering mengalami kerugian apabila barangan niaga mereka disita.

“Masalah peniaga dan penjaja ini, mereka selalu dapat tekanan, kena angkut oleh MPS. Mereka tidak tahan. Kenapa nak angkut orang tempatan, sebelum ini kita utarakan untuk buat penguatkuasaan kepada warga asing yang berniaga, tapi ini orang tempatan pun kena,” katanya kepada pemberita.

Meskipun ada yang telah lama membuat permohonan permit berniaga, namun ujar Rani, sehingga kini ada yang tidak menerima maklum balas daripada MPS.

Ada juga yang tidak dibenarkan untuk membuat permohonan permit berniaga.

“Kalau ada garis panduan, maklumkan, ini senyap tiba-tiba datang angkut,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengerusi peniaga kecil di Taman Seri Gombak Sikrozman Abdul Aziz yang turut hadir mengeluh kerana sehingga kini peniaga di situ tidak dapat memperbaharui permit berniaga meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah di fasa pemulihan.

Pengerusi Peniaga Kecil Taman Sri Gombak, Sikrozam Abd Aziz bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum bantahan terhadap Yang Dipertua (YDP) MPS di hadapan Pejabat Majlis Perbandaran Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 06 JULAI 2020.

Meskipun tidak dapat memperbaharui permit namun mereka nekad untuk berniaga kerana perlu mencari rezeki, kata beliau.

“Sekarang ini ramai yang perlu juga berniaga sebab sudah beberapa bulan tidak berniaga akibat Covid-19, tapi masalahnya permit. Bila permit tidak dapat diperbaharui penguatkuasa datang barangan kami disita,” katanya.

Wakil peniaga di lebuhraya MR2 Gombak Ridzuan Mat Isa pula berkata, sehingga kini peniaga kecil di kawasan itu gagal mendapat kebenaran berniaga.

Wakil peniaga kecil Highway MRR2 Gombak, Ridzuan Mat Isa bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum bantahan terhadap Yang Dipertua (YDP) MPS di hadapan Pejabat Majlis Perbandaran Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 06 JULAI 2020.

Justeru mereka memohon agar peniaga kecil dibenarkan berniaga di kawasan tersebut.

“Kami tidak ada kerja lain selain menjaja, selepas PKP ini kami ingat dapatlah sedikit kami mencari rezeki untuk menafkahkan anak bini kami,” ujarnya.

Memorandum kumpulan peniaga kecil tersebut diserahkan kepada Timbalan Pengarah Korporat MPS, Ahmad Fauzi Ishak.

Rani turut memaklumkan kumpulan itu memberikan tempoh kepada MPS selama tiga hari untuk tampil memberi respon dan penyelesaian kepada isu ini.

Beliau juga menggesa agar pihak MPS berdialog dengan para peniaga kecil di kawasan itu sekiranya perlu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.