KUALA LUMPUR – Cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya tempoh moratorium dilanjutkan merupakan satu saranan yang tepat dan berasas.
Ini kerana, masalah pengangguran yang berlaku ketika ini adalah satu perkara benar dan mungkin ada dalam kalangan rakyat yang terhimpit hingga terjebak berhutang dengan ah long, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Sufian Hamdan.
Beliau berkata, tidak dinafikan keuntungan yang diperoleh bank-bank adalah besar tetapi wajar juga untuk menginsafi bahawa antara pemilik bank komersil di Malaysia adalah rakyat Malaysia melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan lain-lain.
“Menurut data oleh Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah pembayaran balik yang dibuat sebelum moratorium dilaksanakan adalah sekitar RM100 bilion setiap bulan.
“Sejak moratorium pembayaran balik dilaksanakan bermula 1 April 2020, jumlah bayaran balik pinjaman jatuh kepada RM76 bilion (April 2020) dan RM78 bilion (Mei 2020).
“Sekiranya bank-bank komersil terjejas dari segi kewangan, sudah tentu pemegang-pemegang saham bank-bank ini juga akan terjejas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Shahril berkata, jika ada kekhuatiran lanjutan moratorium boleh juga membawa kesan negatif kepada sistem perbankan dan keadaan ekonomi negara, maka sasarkanlah lanjutan tersebut.
Ujarnya, berdasarkan laporan beberapa hari lalu apabila mendedahkan bahawa hampir 90 peratus peminjam yang layak menerima moratorium telah memilih untuk mengambil dan ini menunjukkan ia merupakan angka tinggi sedangkan andaian berasas tidak sampai 90 peratus yang sebenarnya perlu penangguhan pembayaran itu.
Dalam erti kata lain, beliau berkata, yang kaya dan mampu membayar pun akan mengambil moratorium hingga lebihan tunai dalam akaun bank mereka digunakan untuk pelaburan lain.
“Ini bukan tujuan dasar ini dilaksanakan Kerajaan. Disini pendekatan yang lebih bersasar mampu membantu mengurangkan beban kepada bank.
“Golongan B40 dan mana-mana individu yang diberhenti kerja atau hilang sebahagian besar mata pencarian wajar diberi lanjutan automatik.
“Bank-bank boleh menyemak sama ada peminjam-peminjam merupakan mereka yang terjejas atau tidak melalui KWSP, Perkeso dan LHDN,” jelasnya.
Dalam kes-kes lain, pemohon mungkin boleh mohon lanjutan tersebut dan pendekatan sebegini akan memastikan golongan yang memerlukan terbela disamping mengurangkan kesan kewangan ke atas bank, kata beliau. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: