Anggota polis mengawal lalu lintas pada persidangan penuh Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 13 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat yang bermula hari ini merupakan saat yang dinanti-nanti pelbagai pihak setelah tertangguh sejak berbulan-bulan akibat penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Pastinya persidangan Parlimen kali ini agak berlainan sama sekali kerana ia merupakan mesyuarat kali pertama Dewan Rakyat di bawah pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati sekitar luar pekarangan bangunan Parlimen berlaku kesesakan luar biasa sepanjang 500 meter susulan penutupan Jalan Parlimen kepada kenderaan awam.

Malah susur masuk ke Jalan Parlimen dari Lebuhraya Sultan Iskandar juga dikawal ketat polis trafik bagi menghadkan pergerakan masuk kenderaan awam.

Hanya kenderaan ahli-ahli Parlimen, kakitangan Parlimen dan petugas media sahaja dibenarkan melalui Jalan Parlimen bagi menghadiri persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10 pagi ini.

Langkah itu dipercayai bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) normal baharu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu hingga 31 Ogos ini.

Terdahulu, tinjauan MalaysiaGazette awal pagi tadi mendapati Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba antara Menteri Kabinet terawal memasuki pekarangan Parlimen kira-kira jam 8.35 pagi tadi.

Selang 25 minit kemudian kelihatan kenderaan Toyota Vellfire berwarna hitam yang membawa Perdana Menteri selaku Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Jalan Parlimen kira-kira 8.55 pagi tadi.

Selain itu, turut kelihatan ialah Ahli Parlimen Raub yang juga Menteri Kanann Kluster Keselamatan dan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di bangunan Parlimen kira-kira jam 9.27 pagi.

Kenderaan yang membawa Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat tiba bagi menghadiri persidangan penuh Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 13 JULAI 2020

Manakala bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menaiki kenderaan Proton Perdana berwarna hitam tiba lima minit kemudian iaitu 9.32 pagi.

Lebih mencuri tumpuan apabila kenderaan Lexus berwarna hitam yang membawa Ahli Parlimen Port Dickson selaku Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba kira-kira jam 9.41 pagi.

Ketibaan Anwar disusuli dengan kehadiran bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menaiki kenderaan BMW 7 Series tiba kira-kira 9.48 pagi tadi.

Kenderaan yang membawa Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat tiba bagi menghadiri persidangan penuh Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 13 JULAI 2020

– MalaysiaGazette