Saksi yang merupakan Bekas Ketuas Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad hadir pada perbicaraan Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengenai kes projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Saksi ke-12 perbicaraan kes rasuah pembekalan dan pemasangan tenaga solar ke 369 sekolah di Sarawak membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor kelihatan sedikit kaget pada sesi soal balas hari ini.

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Seri Alias Ahmad kelihatan teragak-agak ketika menjawab persoalan bertubi-tubi yang dikemukakan oleh peguam bela Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kadir.

Malah ada satu ketika Akberdin bertindak agresif apabila melontarkan tuduhan terhadap saksi dan Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid bersekongkol dengan Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Ini kerana menurut Akberdin, seorang jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mendapat tahu terdapat pindaan atau perubahan pada kontrak solar membabitkan Jepak Holdings.

Antara perubahan itu merangkumi skop kerja, syarat kontrak untuk reka bentuk dan pembinaan, serta peruntukan khas penyelenggaraan.

Apabila perkara itu diketahui oleh KPM, selepas bermesyuarat beberapa kali pihaknya telah memutuskan tiga langkah yang harus diambil antaranya melakukan siasatan dalaman, meminda kontrak berkenaan dan membuat laporan polis.

Namun Alias mengakui sehingga bersara, beliau tidak pernah membuat laporan polis walaupun sedia maklum dengan apa yang telah berlaku berhubung pindaan kontrak tersebut.

Malah Saidi sendiri pernah mengakui sememangnya ada perubahan pada kontrak itu namun hanya bertindak ‘menyalahkan’ salah seorang daripada kakitangannya sahaja.

Ketika disoal mengapakah tiada laporan polis yang dibuat berhubung perkara itu, Alias sekadar merasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menelitinya.

Akberdin: Datuk boleh saya tahu mengapa tidak buat laporan polis?

Alias: Saya dapat tahu ketika itu SPRM sedang (meneliti) perkara itu jadi kami tidak buat apa-apa.

Akberdin: Datuk, SPRM ketika itu belum siasat lagi kes ini Datuk. Sebenarnya anda dan yang lain bukan sahaja tidak buat laporan polis, sebaliknya juga telah menghalang mana-mana untuk berbuat demikian.

Alias: Tidak setuju.

Akberdin: Baiklah Datuk, biar saya cadangkan bahawa anda dan Menteri Pendidikan masa itu telah bersekongkol dengan Jepak. Kerana itu jugalah anda tidak mahu dengar nasihat penasihat undang-undang seorang peguam Kanan Perseketuan?

Saya cadangkan kepada anda, Datuk serta Menteri Pendidikan sebenarnya telah bersekongkol dengan Jepak dan tidak mahu ambil apa-apa tindakan.

Alias: Tidak setuju.

Akberdin: Ada gambar majlis perkahwinan yang mana ada Saidi dan anda. Ada dua gambar. Majlis kahwin anak Saidi.

Alias: Bukan, itu majlis perkahwinan anak saya. Saya tidak undang beliau, beliau datang dengan Menteri.

Bagaimanapun kenyataan ini menimbulkan pelbagai persoalan kerana sebelum ini Alias pernah mendedahkan beliau tidak mengenali Saidi.

Malah pada perbicaraan sebelum ini, pihak pembelaan pernah mengasak Alias bahawa saksi mengenali Saidi dan bermain golf dengannya, namun beliau menafikannya.

Perbicaraan bersambung ketika ini dengan pendakwaan kembali menyoal Alias di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Rosmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdepan dengan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Saidi bagi dan pemasangan tenaga solar.

Rosmah didakwa telah menerima suapan rasuah daripada Saidi menerusi bekas pembantu, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah sepatutnya dibicarakan bersama Rizal, yang menghadapi empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah berhubung projek berkenaan.

Namun pada 8 Januari lepas mahkamah melepas dan membebaskan Rizal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan. – MalaysiaGazette