Kerosakan 34.6 peratus kapal dan bot yang terlibat dalam Aktiviti Kawalan Keselamatan dan Penguatkuasaan Zon Maritim Malaysia menyebabkan kecekapan dan keberkesanan operasi terjejas.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kerosakan 34.6 peratus kapal dan bot yang terlibat dalam Aktiviti Kawalan Keselamatan dan Penguatkuasaan Zon Maritim Malaysia menyebabkan kecekapan dan keberkesanan operasi terjejas.

Menurut Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, sebanyak 11.7 peratus kapal dan bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) tidak dibuat penyenggaraan kerana kekurangan peruntukan

“Kita bukan mahu mencari salah sesiapa tetapi diharapkan dengan laporan ini, Kementerian Kewangan boleh memberikan peruntukan yang lebih banyak supaya operasi dan penguatkuasaan di Zon Maritim Malaysia dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

“Dengan kekurangan ini, pasukan yang terlibat dalam Aktiviti Kawalan Keselamatan dan Penguatkuasaan Zon Maritim Malaysia masih mampu menahan kemasukan pendatang-pendatang tanpa izin dan sebagainya namun tahap kecekapan boleh dipertingkatkan sekiranya mereka mempunyai bot dan kapal yang disenggara dengan baik apabila menerima peruntukan yang cukup,” katanya semasa sidang media Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 3 hari ini.

LKAN 2018 Siri 3 juga mendapati, aktiviti kawalan di zon maritim masih belum mencapai tahap optimum walaupun setiap pasukan menjalankan tugas masing-masing mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Ini kerana menurut Nik Azman, wujud isu kurang kordinasi di antara jabatan/agensi dalam penguatkuasaan dari segi perkongsian maklumat dan aset.

LKAN 2018 Siri 3 yang diterbitkan selepas sesi audit dijalankan pada 2016 hingga 2018 mendapati sebanyak 64.3 peratus Remote Sensor Sites (RSS) daripada komponen Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) mempunyai peralatan yang rosak.

Manakala 44.4 peratus RSS mempunyai peralatan tidak boleh diganti semula kerana tiada lagi alat ganti di pasaran.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast