Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah selesai menambahbaik Prosedur Pengendalian Standard (SOP) Permohonan Kewarganegaraan Di Bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Menurut menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, langkah itu bagi memastikan permohonan kewarganegaraan individu berumur bawah 21 tahun di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dapat diproses dengan lebih sistematik dan berkesan.

“Penambahbaikan SOP berkenaan adalah berdasarkan kepada pematuhan syarat di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Citizenship Rules 1964 [LN82/1964] serta turut mengambil kira pelbagai aspek termasuklah kebajikan pemohon tanpa mengabaikan keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia ada,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen yang mahu tahu pelan kerajaan untuk memudahkan dan mempercepatkan proses mendapatkan status kewarganegaraan untuk anak-anak tanpa kad pengenalan.

Hamzah berkata, kelahiran yang berlaku di Malaysia tidak menyebabkan seseorang individu memperoleh kewarganegaraan Malaysia secara automatik.

Kewarganegaraan seseorang individu katanya ditentukan berdasarkan kepada status perkahwinan dan taraf kewarganegaraan ibu bapa kandung sewaktu kelahiran berlaku.

“Ia selaras dengan peruntukan di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Citizenship Rules 1964 [LN82/1964] serta perundangan berkaitan yang berkuatkuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak, dan peraturan imigresen,” katanya lagi. – MalaysiaGazette