KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA) hari ini menggagihkan lebih 5,000 buku sabun kepada pelbagai peringkat masyarakat sebagai usaha meningkatkan penjagaan diri dalam mencegah Covid-19.
Sabun Neem berkenaan adalah tanggungjawab sosial korporat pengedar sabun antiseptik keluaran Bajaj oleh SS Brands Marketing Sdn Bhd.
Timbalan Ketua Wanita Kimma Malaysia, Chand Bee Jemal Deen berkata, pemberian sabun yang terkenal di India itu tepat pada masanya kerana negara kita masih dalam ‘peperangan’ melawan pandemik Covid-19 yang mengancam seluruh dunia.
“Telah dimaklumkan sebelum ini sumbangan sabun antiseptik amat penting kepada semua lapisan masyarakat khususnya asnaf dalam penjagaan kebersihan diri dan keluarga masing-masing.
“Sabun ini berasaskan daun yang dikenali semambu tetapi ada segelintir masyarakat memanggilnya daun mambu atau mamu, terkenal untuk merawat penyakit kulit, alahan serta fungsinya mencegah dan membasmi bakteria dengan lebih cepat.
“Sumbangan ini eksklusif dan lain daripada yang lain kerana ia adalah bentuk pencegahan secara tradisional yang diamalkan secara turun temurun.
“Jika sebelum ini, orang ramai sudah menerima bentuk bantuan seperti makanan, topeng muka dan bahan sanitasi tetapi kali ini kita beri sabun percuma,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
KIMMA semalam turut mengagihkan hampir 100 buku sabun Neem kepada pengamal media di ibu pejabat Malaysia Gazette sebagai menghargai tugas media di barisan hadapan sepanjang krisis Covid-19.
Susulan daripada itu, KIMMA turut mengagihkan sumbangan berkenaan kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan, sukarelawan Hospital Ampang, masjid, surau, gelandangan serta sumbangan persendirian kepada asnaf di sekitar Ampang dan Lembah Klang.
Chand Bee turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Sunil Dube dan Cik Jessica daripada SS Brands Marketing Sdn Bhd yang sudi menyampaikan sumbangan tersebut pada beberapa hari lalu.
“Sebagai menyahut seruan kerajaan “Kita Jaga Kita”, KIMMA mengalu-alukan lagi sumbangan daripada badan korporat serta syarikat swasta seperti SS Brands Marketing Sdn Bhd ini untuk bersama menjaga kesihatan rakyat negara ini.
“Kalau bukan kita yang memberi contoh yang baik kepada yang lain, siapa lagi boleh diharapkan dalam membantu meringankan beban kerajaan serta masyarakat sekitar yang bukan semuanya bernasib baik,” katanya.
Tambah beliau, Pergerakan Wanita KIMMA Kebangsaan akan bekerjasama dengan KIMMA Pusat untuk mengagih-agihkan sumbangan ini kepada semua Ketua Wanita KIMMA di negeri – negeri untuk diagihkan kepada orang ramai dalam masa terdekat.- MalaysiaGazette