Alexis Sanchez. Foto Metro.UK

LONDON – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer dilaporkan bersedia untuk menjual enam pemainnya bagi mendapatkan dana untuk membeli tiga pemain baharu termasuk Jadon Sancho.

Skuad The Red Devils itu kini dalam landasan terbaik untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di kedudukan empat pasukan terbaik selepas mempamerkan peningkatan prestasi sejak saingan liga kembali bersambung dengan menang empat dan seri dua perlawanan.

Bagaimanapun, kelab tersebut kini bukan lagi hanya mahu bersaing merebut kedudukan empat pasukan teratas, tetapi menyasarkan untuk menjuarai EPL dan ia memerlukan perbelanjaan besar bagi mendapatkan beberapa pemain baharu.

Menurut laporan The Telegraph, United mahu menjual enam pemainnya pada musim panas ini dengan Alexis Sanchez, Chris Smalling, Marcos Rojo, Phil Jones, Jesse Lingard dan Diogo Dalot telah berada dalam senarai untuk dijual.

Sebagai balasan, Solskjaer berharap pihak kelab dapat membawa masuk penyerang Borussia Dortmund, Jadon Sancho serta seorang pemain pertahanan tengah dan seorang penyerang.

Dengan impak kewangan yang melanda kebanyakan pasukan disebabkan pandemik, wang hasil jualan enam pemain itu tentunya dapat menampung dana yang diperlukan.

Penjualan Sanchez menjadi fokus utama memandangkan pemain tersebut menerima gaji tertinggi di Old Trafford sebanyak £350,000 seminggu dan beberapa bonus lain.

Musim ini pemain Chile tersebut telah dipinjamkan ke Inter Milan dan telah mempamerkan prestasi yang agak memberangsangkan sejak kebelakangan ini.

Smalling dan Rojo juga masing-masing dipinjamkan ke Roma dan Estudiantes. Dua pemain tersebut mungkin akan dibeli secara tetap pada musim panas ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast