BANGI – Seorang peniaga Bazar Malam Seksyen 9, Bangi memajak emas pusaka untuk sewa tapak dan modal perniagaan tetapi malangnya masih tidak dibenarkan berniaga di tapak berkenaan.
Berbekalkan semangat yang hampir luntur kerana tempoh lesen hampir tamat 10 hari lagi, Mohd Asri Zakaria meluahkan rasa tertekan dan kecewa apabila dimaklumkan Majlis Perbandaran Daerah Kajang (MPKj) tapak itu masih belum boleh dibuka.
“Di mana keprihatinan Menteri Besar, Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor dan MPKj yang kata mahu menjaga hak rakyat, hak kami sudah terbukti ditindas dalam isu ini.
“Bayangkan sudahlah saya terpaksa bergolok gadai, sifar pendapatan pula sepanjang tiga bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini tinggal 10 hari sahaja lagi lesen untuk kami berniaga.
“Emas pusaka telah habis digadai. Kini tidak ada apa lagi yang boleh digadai. Ini bukan sahaja menindas dan menganiaya kami malah amat amat zalim sekali.
“Kami peniaga amat berharap tapak ini dibuka serta merta, khususnya sekarang sudah nak dekat Hari Raya Aidiladha sekurang-kurangnya adalah sedikit wang untuk menampung hidup kami,” katanya kepada wartawan.
MalaysiaGazette beberapa hari lalu mendedahkan 300 peniaga Bazar Malam Seksyen 9, Bangi hanya dibenar niaga tiga hari walaupun sewa tapak setahun, dipercayai ada tangan ghaib yang menghalang mereka untuk beroperasi di tapak berkenaan.
Tambah Mohd Asri, anehnya peniaga asing dibenarkan berniaga tetapi rakyat warganegara bumiputera Selangor tidak dibenarkan.
“Ini jelas menunjukkan pihak yang rasis memusuhi orang Melayu seperti kata pemimpin mereka tidak ada ketuanan Melayu di Tanah Melayu ini.
“Ya saya amat menyokong supaya Sultan Selangor dan Majlis Raja-raja campur tangan kerana kerajaan yang diperkenankan Sultan sedang menindas dan menganiaya rakyat Tuanku sendiri. – MalaysiaGazette