KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional perlu mempercepatkan pembinaan LRT3 untuk merangsangkan ekonomi.
Ini kerana, projek itu sepatutnya siap pada 28 Februari 2021 tetapi telah dilanjutkan kepada 28 Februari 2024 oleh kerajaan Pakatan Harapan terdahulu.
Ahli Jawatankuasa Pusat, Parti Sosialis Malaysia, Sharan Raj berkata, langkah mempercepatkan pembinaan LRT 3 juga mampu meningkatkan permintaan bahan binaan yang akan merancakan aktiviti ekonomi.
”Ketika ini, banyak kilang sedang membuang pekerja kerana permintaan bahan industri telah merundum,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Lagipun, katanya, lanjutan pembinaan LRT 3 memaksa penduduk di Shah Alam dan Klang berasak-asak dengan kesesakan lalu-lintas selama 3 tahun lagi.
Semalam, Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dijangka siap sepenuhnya pada 28 Februari.
Katanya, projek dengan jajaran sepanjang 37.8 kilometer itu, menghubungkan penumpang dari koridor barat Lembah Klang dan pusat bandar raya Kuala Lumpur baharu mencapai 33.12 peratus keseluruhan projek setakat 30 Jun lalu. – MalaysiaGazette