Pengasas DDKoin, Datuk Azrainuddin Zainal (tengah) bersama penghuni Rumah Asnaf Al Barakh Ampang hari ini.

KUALA LUMPUR – Yayasan DDK Universal Relief (DUREF)  menyumbangkan derma menggunakan mata wang kripto kepada 30 penghuni Rumah Asnaf Al Barakh di Ampang hari ini.

Sumbangan wang kripto yang bernilai RM3,000 itu disampaikan oleh pengasas mata wang digital pertama DDKoin,
Datuk Azrainuddin Zainal.

Sumbangan diberikan kepada pengurus operasi rumah asnaf berkenaan, Aishah Mohd Razali yang diberi akaun dompet digital DDKoin bagi menukarkan mata wang kripto kepada mata wang negara ini.

Datuk Azrainuddin Zainal.

Azrainuddin berkata, sumbangan adalah menerusi tabung khas yang dikumpulkan daripada pemegang akaun DDKoin di seluruh dunia untuk aktiviti amal yang dilakukan oleh syarikat ini.

“Setakat ini DDKoin memiliki 300,000 pemegang akaun dari seluruh Asia, Eropah dan Jepun serta mata wang digital kami ini menggunakan teknologi Blockchain yang bersifat sumber terbuka dan tidak berpusat.

“Pemegang akaun DDKoin menggunakan mata wang digital seperti bitcoin atau kripto dan menggunakan platform LUNO atau Synergy yang diperakui Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan digunakan bank tempatan dalam menukarkan mata wang digital itu kepada ringgit Malaysia dan wang tunai boleh dikeluarkan di mana-mana mesin wang automatik (ATM).

“Apa yang penting, wang kripto DDKoin menggunakan teknologi Blockchain yang telus, kalis daripada digodam dan ada jaminan jika berlaku sebarang insiden.

“Ketika ini DDKoin mencatatkan tangga ke- 114 daripada 8,000 pengusaha mata wang kripto di dunia dan sedang mengembangkannya lagi agar ia diterima pakai oleh semua sektor dan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan peralatan untuk ke sekolah kepada 30 penghuni rumah asnaf berkenaan.

Turut hadir menyampaikan sumbangan dan meraikan rumah asnaf berkenaan adalah pengasas bersama DDKoin, Datin
Nur Ezdiani Baharoddin dan Presiden SRIKANDI Malaysia, Datuk Norasyikin Abd Ghani.

Dalam pada itu, Norasyikin berkata, walaupun ia kelihatan sukar difahami namun amalan urus niaga kini sudah berubah ke arah digital dan semakin ramai peniaga tidak menggunakan wang fizikal, sama seperti contohnya kad Touch n Go E Wallet.

“Untuk program kali ini, dunia mata wang digital ini didedahkan kepada golongan muda agar mereka tidak tertinggal dalam perubahan dunia tanpa sempadan.

“Oleh kerana penerima sumbangan adalah penghuni yang berusia lapan tahun hingga 13 tahun, jadi sumbangan akan disalurkan kepada pengetua untuk diedarkan kepada penerima.

“Selain program bersama asnaf, SRIKANDI bakal memperkenalkan platform perniagaan secara digital kepada usahawan kecil dan sederhana khususnya wanita dan golongan B40 dalam waktu terdekat.- MalaysiaGazette