Lima kakitangan Kementerian Kewangan (MoF) dan empat orang awam diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan reman bagi kes menguruskan pendaftaran akaun ePerolehan kementerian berkenaan tanpa mengikut prosedur dan syarat ditetapkan di Mahkamah Majistret Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17 JULAI 2020.

TATKALA pihak kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memajukan ekonomi golongan Bumiputera di negara ini, kita dikejutkan dengan pendedahan terdapat sindiket yang menguruskan pendaftaran akaun ePerolehan bersama status Bumiputera tanpa mengikut prosedur dan syarat ditetapkan oleh Kementerian Kewangan (MoF).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menahan sembilan individu termasuk lima kakitangan MoF yang dilaporkan menjalankan aktiviti ini sejak 2017 dan dikatakan sudah mengaut hasil ratusan ribu ringgit dengan caj kira-kira RM500 hingga RM3,500 bagi setiap permohonan untuk mempercepatkan proses pendaftaran ePerolehan.

Akaun ePerolehan adalah sistem perolehan elektronik yang membolehkan pembekal menawarkan produk dan perkhidmatan kepada kerajaan secara dalam talian. Ia juga pilihan untuk pembekal mendaftar dan memperbaharui Sijil MoF.

Mengikut modus operandi, sindiket akan menugaskan sekumpulan individu di luar MoF sebagai runner bagi mencari dan menyelesaikan segala urusan dengan pelanggan sebelum permohonan dibuat.

Syarikat pelanggan dilaporkan tidak akan berurusan secara terus dengan kakitangan MoF terbabit sebaliknya segala urusan diselesaikan oleh runner yang dikenali oleh kakitangan tersebut.

Dengan cara ini segala permohonan dijamin lulus malah dikatakan boleh siap dalam tempoh 24 jam berbanding mengikut prosedur biasa tempoh kelulusan boleh mencecah tiga bulan kerana memerlukan pematuhan prosedur yang rapi dan ketat sebelum diberikan kelulusan.

Kita sedia maklum pihak kerajaan menyediakan kemudahan menganugerahkan beberapa kategori projek atau perolehan hanya kepada syarikat bertaraf Bumiputera 100 peratus.

Langkah ini adalah inisiatif kerajaan sejak dahulu untuk membantu syarikat Bumiputera yang berskala kecil dan sederhana untuk memperoleh peluang perniagaan atau projek bagi memajukan ekonomi dan taraf hidup masing-masing.

Hal ini bukan lagi rahsia kerana semua pihak sedia maklum syarikat Bumiputera seperti ini agak sukar untuk bersaing dengan syarikat besar yang lain jika mereka diletakkan dalam satu kategori yang sama.

Justeru bayangkan apa akan jadi kepada inisiatif dan kemudahan istimewa kerajaan tersebut apabila wujud sindiket seperti ini kerana dengan cara ini semua syarikat terutamanya yang bertaraf bukan Bumiputera dan yang tidak layak turut boleh didaftarkan sebagai syarikat bertaraf Bumiputera asalkan syarikat tersebut sanggup membayar caj yang ditetapkan oleh sindiket.

Dengan ini syarikat tersebut juga bebas dan layak untuk membida semua projek yang dikhaskan untuk syarikat Bumiputera sahaja, ini sekaligus akan merampas hak syarikat Bumiputera.

Akhirnya syarikat yang bertaraf Bumiputera 100 peratus terpaksa berputih mata dan boleh menyebabkan perniagaan mereka lumpuh dan gulung tikar. Ini juga sudah semestinya akan menjejaskan agenda kerajaan untuk membangunkan ekonomi
Bumiputera.

Oleh itu kita perlu memandang serius kewujudan sindiket seperti ini serta penyelewengan dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh pihak yang diberikan amanah dan diletakkan tanggungjawab yang besar.

Tindakan individu yang salah guna kuasa dan membantu sindiket seperti ini bukan saja perlu dilihat sebagai tidak amanah tetapi lebih daripada itu iaitu satu perbuatan yang merampas hak dan mengkhianati golongan Bumiputera negara ini.

Apa yang menyedihkan ialah, kerana gelap mata dan tamak mereka sanggup melumpuhkan ekonomi golongan Bumiputera.

Tahniah kepada SPRM yang berjaya menumpaskan sindiket ini dan kita berharap mereka yang terlibat ini dijatuhkan hukuman yang setimpal agar turut menjadi iktibar dan pengajaran kepada yang lain.

Kejayaan sindiket ini sejak 2017 menunjukkkan kakitangan yang diberi kuasa untuk memproses dan meluluskan sesuatu permohonan pendaftaran penting seperti ini boleh memanipulasikan kedudukan dan mengambil kesempatan.

Bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang atau berlaku lagi, adalah disyorkan aspek pemantauan terhadap kakitangan yang mengendalikan tugasan penting seperti ini diberi perhatian serius.

Misalnya, setiap lapisan proses kerja iaitu bermula dari kakitangan yang menerima permohonan, menyemak dokumen, memproses serta meluluskan permohonan perlu dipantau dengan teliti.

Sewajarnya proses pemberian kelulusan sesuatu permohonan juga wajar ditambah lapisan pegawai yang perlu mengesahkan dan meluluskannya.

Malah keseluruhan kakitangan yang ditugaskan dalam proses kerja seperti ini juga wajar digilirkan secara kerap agar mereka tidak menjadi sasaran mudah sindiket yang hanya menunggu peluang.

Melangkah ke hadapan, kita berharap pihak kerajaan akan terus melaksanakan inisiatif yang lebih tegas dan serius bagi mencegah dan membendung perbuatan salah laku penjawat awam seperti ini terutamanya yang bertugas di agensi yang kritikal, sensitif dan dengan mudah boleh terdedah kepada unsur rasuah dan penyelewengan.

Walaupun bilangan penjawat awam yang terlibat dalam salah laku
seperti ini kecil berbanding jumlah kira-kira 1.6 juta keseluruhan penjawat awam, namun umpama kerana nila setitik rosak susu sebelanga, mereka inilah yang menjejaskan nama baik dan imej keseluruhan penjawat awam dan perkhidmatan awam di negara ini.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

 

Noor Mohamad Shakil Hameed, penganalisis isu semasa