Hari pertama Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Majlis Parlimen ke-14 kecoh dan panas minggu lepas.
Antaranya ialah isu ‘gelap’ dan ‘bedak’ yang dibangkitkan pembangkang selepas digunakan oleh Ahli Parlimen Baling (BN), Datuk Seri Azeez Abdul Rahman terhadap Kasthuri Patoo, Batu Kawan (DAP).
Kasthuri yang bangkit bangun menyoal mengapakah tiada langsung nama wakil wanita dalam pelantikan enam ahli Jawatankuasa Pemilih bagi tempoh Parlimen ke-14.
Kata Kasthuri, ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, Ahli Parlimen Pandan merangkap bekas Timbalan Perdana, Datuk Seri Dr Wan Azizah pernah duduk dalam jawatankuasa tersebut.
“Mengapa tidak ada nama wanita dalam jawatankuasa tersebut? Sebelum ini ada Pandan sebagai wakil. Langsung tidak adakah wanita berkaliber dalam Perikatan Nasional (PN)?,” soalnya.
Ketika itulah Azeez bangun menyebut ‘gelap sangat’ dan kemudiannya umum ketahui apa yang terjadi sehingglah hari kedua Yang DiPertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azizan Harun membuat ruling memintanya menarik balik dan memohon maaf.
Bagaimanapun, apa yang penulis hendak bangkitkan bukanlah isu bedak mahupun gelap itu yang sememangnya bukan sahaja wakil pembangkang malahan netizen dan ramai di luar sana tidak setuju penggunaan perkataan seumpama itu di gunakan dalam Dewan mulia tersebut.
Sebaliknya persoalan bagaimana pembangkang yang bangkitkan isu tentang pemerkasaan wanita akhirnya kecundang juga dalam isu tersebut.
Masing-masing tidak pula bercakap tentang pemilihan Timbalan Yang di-Pertua atau Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga merupakan seorang wanita.
Malah pemilihan itu juga di anggap sebagai sejarah dan cukup bermakna buat kaum wanita itu sebenarnya juga seolah-olah menjadi ‘bahan jenaka’ bagi mereka.
Ini kerana ada juga dalam kalangan pembangkang cuba membandingkan pula Hannah Yeoh yang pernah menjadi Speaker bagi Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) dengan Azalina pula.
Terutamanya dalam cara pemakaian, walaupun kenyataan dalam Twitter itu telah dipadam selepas beberapa jam namun ada juga sempat ‘screen shot’ dan juga menghantarnya kepada MalaysiaGazette.
Tulis pemimpin wanita itu ‘Cantik dan kemas je Hannah Yeoh’ sambil berkongsi gambar Hannah di sebelah kanan dan kirinya pula Azalina yang duduk di tempat Speaker dengan memakai ‘mask’ paras dagu.
Gambar Azalina itu juga seperti seolah-olah diambil dengan sengaja dengan ‘shot’ yang tidak begitu jelas manakala Hannah nampak begitu elok sekali.
Persoalan timbul, apakah sebenarnya teriakkan pemerkasaan wanita ini hanya sekadar retorik sahajakah walhal sempat juga diejek dan dihina?
Mungkin juga ada teguran sehingga pemimpin wanita itu kemudian bertindak memadamkan posting Twitter itu.
Pembangkang jangan pandang rendah kebolehan wanita yang mempunyai latar belakang profesional sebagai seorang peguam bahkan pernah mengendalikan urusan hal ehwal Parlimen sewaktu berkhidmat sebagai pengerusi Kaukus Wanita Parlimen.
Azalina juga pernah menjadi menteri di beberapa kementerian termasuk di Jabatan Perdana Menteri.
Ketegasannya juga terserlah pada minggu pertama itu apabila berjaya ‘mendiamkan serta menyekolahkan’ bukan sahaja wakil rakyat pembangkang sahaja sebaliknya dalam kerajaan juga ketika sesi Parlimen tempoh hari.
Mungkin banyak lagi adegan serta drama menarik sepanjang sidang Dewan Rakyat ini kelak, kita akan saksikan sendiri terutamanya penggunaan perkataan-perkataan berbaur perkauman, seksis dan banyak lagi sehingga memalukan Dewan yang mulia itu.
Tidak lupa juga bagaimana ada kalanya kes-kes di mahkamah pula sengaja di bangkitkan untuk memanaskan keadaan selain membuang masa perbahasan walhal prosiding masih lagi berjalan.
Ini banyak berlaku terutamanya kes membabitkan bekas Perdana Menteri. Datuk Seri Najib Tun Razak yang masih lagi sedang berjalan seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga SRC International membabitkan dana RM42 juta yang sebenarnya subjudis.
Fenomena ini agak biasa sekali ketika PH menjadi kerajaan, wakil-wakil rakyat ini begitu bebas bercakap tentang kes-kes ini selain tuduh menuduh sehinggalah ianya menjadi pertikaian antara wakil pembangkang dan kerajaan, akhirnya masa penting yang sepatutnya di gunakan untuk berdebat isu rakyat digunakan untuk agenda peribadi.
Manakala kes terowong di Pulau Pinang yang juga banyak sekali tanda tanya tidak pula boleh di bangkitkan ketika itu walaupun ianya bukanlah di mahkamah ketika ini.
Walauapapun, kita tunggu dan lihat sahaja apakah lagi drama serta ‘warna sebenar’ wakil-wakil rakyat yang di undi oleh rakyat demi rakyat sebaliknya terkinja-kinja melompat dalam Dewan bercakap perkara-perkara tidak relevan. –MalaysiaGazette