TAIPING – Zoo Taiping dan Night Safari (ZTNS) akan memfokus kepada langkah memperhebat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam usaha melindungi serta memulihara haiwan hutan yang diancam kepupusan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata ia merupakan inisiatif ZTNS dalam memperbanyak spesies yang semakin sukar didapati di negara ini seperti kambing gurun.
“Kita juga menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk memasang perangkap bagi menangkap kambing gurun di sebuah kawasan di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media mengenai kejayaan program pembiakan haiwan di ZTNS hari ini.
Mengulas program itu, beliau berkata ZTNS berjaya membiak sebanyak 36 ekor burung Botak Upeh atau nama saintifiknya Mycteria cinerea menerusi program konservasi yang dimulakan sejak 2005.
“Kejayaan lain yang dicapai oleh ZTNS ialah kelahiran empat ekor anak anjing hutan atau serigala dengan nama saintifiknya Red Dhone @ Cuon Alpinus pada Disember 2019,” katanya.
Selain itu, Khairul Amir berkata ZTNS menyambut kelahiran anak Orang Utan spesies Borneo pada 23 Dis 2019 dan 5 Feb lepas.
Beliau berkata semalam, ZTNS turut menerima seekor Lechwe jantan spesies antelop endemik Afrika dari Zoo Negara untuk tujuan pembiakan, menjadikan kesemuanya tiga ekor.
Sebelum ini, dua ekor spesies itu diterima daripada Zoo Melaka, masing-masing pada 28 Dis 2012 dan 11 Mac lepas.
“ZTNS juga menerima dua kelahiran dua ekor anak gajah jantan pada 30 Disember 2018 dan 8 Februari 2019 bernama Laroot dan Boyan menjadikan jumlah gajah yang terdapat di sini 10 ekor,” katanya. – Bernama